Pemuda Umno mahu penjelasan lantik rakyat asing terajui MAS
Pemuda Umno mahu Penerbangan Malaysia (MAS) memperjelaskan kewajarannya jika benar syarikat penerbangan nasional itu bakal dipimpin oleh warga asing dan kenapa rakyat tempatan tidak layak menerajuinya.
Pemuda Umno mahu Penerbangan Malaysia (MAS) memperjelaskan kewajarannya jika benar syarikat penerbangan nasional itu bakal dipimpin oleh warga asing dan kenapa rakyat tempatan tidak layak menerajuinya.
Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tindakan melantik warga asing menerajui syarikat milik negara itu, samalah seperti merestui penjajahan semula, tetapi dalam suatu bentuk baru.
"Jangan tengok pada sudut komersial sahaja tetapi kena tengok agenda yang lebih besar, iaitu agenda Melayu," katanya kepada pemberita selepas menutup Forum Khas Isu-isu Ekonomi Semasa anjuran Biro Ekonomi Pemuda Umno di Kuala Lumpur hari ini.
Akhbar hari ini melaporkan, Khazanah Nasional Bhd, pemegang ekuiti utama syarikat penerbangan itu, dikatakan mungkin melantik warga asing untuk menerajui syarikat penerbangan itu selepas Pengarah Urusannya, Datuk Ahmad Fuaad Dahlan bersara awal minggu lalu.
Hishammuddin, yang juga Menteri Pelajaran, berharap pengurusan MAS dapat memberikan sebab yang munasabah kenapa jawatan pengarah urusan itu tidak dapat diisi oleh rakyat Malaysia amnya, dan orang Melayu khasnya.
"MAS kena beri sebab mengapa orang Melayu atau rakyat Malaysia tidak layak. Penjajahan sekarang bukan melalui senjata sahaja tetapi kita kena sedar ada penjajahan melalui pemikiran, budaya dan ekonomi," katanya.
Cari laluan beri
Menurut laporan Bernama, Hishammuddin berkata MAS mesti perjelaskan kepada rakyat mengenai pemilihan orang asing itu kerana ia sendiri sebuah syarikat milik Malaysia yang membawa imej negara ke merata dunia.
"MAS mewakili Malaysia. Ia kena beri gambaran untuk kekuatan sebagai satu bangsa yang berhemah. Kita (ahli politik) juga yang mempertahankan MAS dan kita juga yang cari laluan baru untuk MAS dan buat hubungan dua hala," katanya.
Ketika ditanya jika Pemuda Umno bersetuju atau akan membantah cadangan Khazanah Nasional untuk melantik antara empat tokoh penerbangan antarabangsa berbangsa Inggeris, sebagai peneraju MAS, Hishammuddin berkata: "Kita rasional. Kita akan lihat kenyataan rasmi dahulu. Yang penting, mereka kena perjelaskan."
Katanya, penerimaan Pemuda Umno terhadap keputusan MAS ini bergantung kepada situasi kerana dalam keadaan jika negara ingin membangunkan program nuklear, contohnya, Malaysia mungkin terpaksa meminta bantuan orang asing kerana negara kekurangan pakar.
Ketika ditanya mengenai langkah sesetengah pemimpin negara menghantar anak-anak mereka belajar di luar negara, Hishammuddin berkata itu keputusan peribadi, tidak kira sama ada dianya seorang menteri atau orang biasa, kerana mereka mahu anak mereka mendapat pendidikan terbaik.
Beliau berkata, kerajaan tetap hendak meneruskan agenda memperkasakan sekolah kebangsaan.

