Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
100 bas percuma, S'gor diiktiraf Malaysia Book of Record
Diterbitkan:  Sep 26, 2017 1:47 PM
Dikemaskini: 5:49 AM

Pelancaran Bas Smart Selangor ke-100 menjadikan Selangor sebagai negeri yang menyediakan perkhidmatan bas percuma terbanyak di negara ini, sekali gus membolehkannya mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Record.

Bas Smart Selangor beroperasi secara percuma dan melalui kawasan-kawasan awam seperti sekolah dan hospital serta kawasan perumahan kos rendah.

Ia diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat.

Dalam video yang disiarkan media rasmi kerajaan negeri, TV Selangor, Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali berkata, bas ke-100 itu akan beroperasi di kawasan jajaran pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), ekoran sambutan menggalakkan penduduk setempat.

“(Exco) Datuk Teng Chang Khim telah pun mencerakinkan, memaklumkan kepada kita bagaimana program ini bermula dua tahun lalu dan kini sudah menjadi program yang amat popular di kalangan rakyat di negeri Selangor sehingga ia telah menarik perhatian di mana program ini mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Record.

“Datuk Teng beritahu, inilah satu-satunya negeri dalam Malaysia (yang laksana bas percuma), (dan) mungkin dalam dunia yang memperkenalkan bas percuma kepada rakyat di dalam negeri berkenaan,” kata Azmin semasa melancarkan bas ke-100 itu di pusat beli belah Sunway Pyramid pada Ahad lalu.

Teng yang memegang portfolio pengerusi jawatankuasa tetap pelaburan, perindustrian dan perdagangan, industri kecil dan sederhana (IKS) dan pengangkutan, pada Julai lalu dilaporkan berkata, pelaksanaan bas percuma itu menyaksikan peningkatan drastik penggunanya.

Beliau yang dipetik The Star sebagai memberitahu, sebanyak 4.13 juta pengguna menggunakan perkhidmatan bas itu pada 2016 manakala angka bagi enam bulan pertama untuk tahun ini ialah sebanyak 4.12 juta.

Perkhidmatan bas percuma yang bermula pada bulan Julai 2015 di Klang, Shah dan Subang Jaya itu mempunyai 546,000 penumpang menjelang Disember 2015.

Bas berhawa dingin itu turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCT) serta perkhidmatan Internet tanpa wayar percuma.

Lihat Komen
ADS