Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Tempoh hari, seorang rakan Facebook yang tidak begitu saya kenali menghubungi saya melalui aplikasi Messenger.

Menurutnya, dia menghadapi masalah kewangan dan memerlukan bantuan kerana tidak dapat melangsaikan bil peguam yang diupahnya dalam kes hak penjagaan anak.

Kata rakan itu, dia sudah bercerai namun anak-anak masih di bawah jagaan bekas suaminya yang enggan membenarkan mereka tinggal bersama wanita terbabit.

"Saya menyayangi anak-anak saya dan amat merindui mereka. Jika saya gagal melunaskan bil peguam, pasti saya takkan dapat bersama mereka lagi.

"Tolonglah Fa, bantulah setakat yang terdaya. Tak kisahlah berapa pun jumlahnya. Saya juga ada memohon bantuan daripada rakan Facebook yang lain," pintanya.

Saya segera memeriksa laman Facebook dia bagi mendapatkan maklumat yang lebih lanjut. Peliknya, laman Facebook wanita itu dipenuhi dengan gambar swafoto, aktiviti bersosial serta posting mengenai dunia hiburan.

Pada hemat saya, tidak ada apa-apa pun yang terdapat di akaunnya itu menggambarkan dirinya sebagai seorang ibu yang terdesak dan memerlukan bantuan.

Lebih kurang setengah jam kemudian, saya menerima satu lagi pesanan daripada rakan tersebut. Katanya bil guaman perlu dilangsaikan dalam masa dua jam sahaja lagi.

Menurutnya, jika tidak menerima bantuan, kemungkinan besar ia akan menjadi penyebab dia kehilangan anak-anaknya.

Saya menghela nafas panjang. Sebagai seorang ibu tunggal yang juga telah melalui detik-detik yang sama, saya memahami segala yang diutarakannya.

Meskipun demikian, saya gusar memikirkan sekiranya bantuan yang saya hulurkan akan membawa kemudaratan kepada anak-anaknya.

Bukan niat saya untuk memperkecil-kecilkan dirinya sebagai seorang ibu yang bertanggungjawab. Mungkin di sebalik kerakusannya berkongsi gambar-gambar swafoto yang ada segala macam itu, wujud seorang ibu yang prihatin terhadap anaknya.

Namun begitu, saya kurang pasti jika beliau adalah penjaga yang terbaik buat anak-anaknya.

Lumrah orang Islam

Seperti mana saya kurang mengenalinya, saya juga tidak kenal bekas suaminya, yakni bapa kandung anak-anak tersebut yang kini sedang menjaga anak-anak mereka berdua.

Ada kemungkinan juga bahawa bekas suaminya itu merupakan penjaga yang lebih baik berbanding rakan Facebook saya itu. Saya kurang pasti.

Saya juga tidak dapat menolak kemungkinan bahawa bantuan yang dipinta tersebut hanyalah merupakan sandiwara yang acap kali berlaku pada masa kini.

Mungkin juga bantuan kewangan yang bakal saya berikan dipergunakan untuk membiayai aktiviti sosialnya.

Dengan segala keraguan yang timbul, saya bertanya kepada diri saya sendiri: "Adakah patut saya hulurkan bantuan sedangkan saya kurang pasti jika ianya penyelesaian terbaik bagi anak-anaknya?"

Saya akhirnya membuat keputusan untuk tidak campur tangan, lalu berdiam diri sahaja.

Saya tergerak hati berkongsi cerita di atas melalui penulisan kali ini ekoran terpaparnya berita mengenai sumbangan Yayasan PEKEMA berjumlah RM50,000 kepada Darul Quran Ittifaqiyah yang mengalami kebakaran dan mengorbankan banyak nyawa tempoh hari.

Pada hemat saya, sumbangan bantuan kepada pusat tahfiz berkenaan atau mana-mana pusat pengajian tahfiz di seluruh pelusuk negara oleh pertubuhan bukan kerajaan atau individu tidak harus dilaksanakan tanpa bertanya kepada diri kita sendiri terlebih dulu.

Kita perlu benar-benar pasti bahawa bantuan yang dihulurkan itu akan digunakan ke arah kebaikan pusat pengajian berkenaan serta kebajikan pelajarnya.

Melihat kes-kes terkini melibatkan pusat tahfiz yang beroperasi tanpa permit, tidak menitik-beratkan aspek keselamatan pelajar, mengambil pekerja yang tidak bertauliah serta mengupah bekas banduan sebagai kakitangan - pada firasat saya - membantu mereka dengan memberi dana tanpa usul periksa mendorong kita berkongsi dosa jika malapetaka berlaku.

Saya sedar sudah menjadi lumrah kita sebagai orang Islam untuk cuba membantu sesama kita setakat yang terdaya, lebih-lebih lagi dalam urusan agama.

Namun kita harus sedar bahawa kita harus memikul tanggungjawab bagi memastikan sumbangan itu akan digunakan dengan sebaik-baiknya.

Lagipun, apakah kita akan memberikan bantuan kewangan kepada seseorang yang sudah kita ketahui merupakan penagih dadah?

Atau adakah akan kita memberi sumbangan kepada seseorang yang terlibat dalam kegiatan ekstremis?

Maka apa bezanya kita menghulur dana kepada pihak-pihak yang memohon bantuan sedangkan kita sudah sangsi akan kecenderungan mereka menyalahgunakan amanah kita?

Harapan saya, sebelum kita tergerak hati menghulur bantuan di masa hadapan, berfikirlah dahulu. Tak guna mencari pahala dengan bersedekah sekiranya kita hanya membantu pihak-pihak tidak bertanggungjawab menjalankan aktiviti mereka dalam keadaan acuh tak acuh.

Janganlah sampai kita bersubahat ke jalan kemungkaran semata-mata mahu berbuat kebaikan. Usah bergelumang dosa demi mencari pahala.


FA ABDUL ialah kolumnis Malaysiakini edisi bahasa Inggeris.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS