Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Imigresen tahan 80 warga asing dalam Ops Gegar
Diterbitkan:  Sep 27, 2017 5:51 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Seramai 80 warga asing ditahan dalam serbuan Ops Gegar yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen Malaysia di salah sebuah pusat hiburan di Kepong, ibu negara.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, pusat hiburan berkenaan dipercayai menjalankan kegiatan tidak bermoral termasuk aktiviti pelacuran membabitkan pelayan pelanggan (GRO) warga asing,

Dalam operasi yang bermula jam 1 pagi itu, seramai 35 pegawai imigresen turut memberkas tiga lelaki dan seorang wanita warga tempatan kerana disyaki menjadi penyelia aktiviti tidak bermoral itu.

"Soal siasat awal mendapati subjek memasuki Malaysia dengan hanya menggunakan pas lawatan sosial bagi tempoh 30 hari dan menjalankan aktiviti tidak bermoral untuk mengaut keuntungan yang lebih dengan mudah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 54 wanita dan lapan lelaki warga Thailand, empat lelaki berperwatakan wanita warga Thailand, lapan wanita warganegara Laos, tiga lelaki warga Myanmar, dua wanita Indonesia dan seorang lelaki warga Bangladesh.

Kesemua mereka yang disyaki bekerja sebagai pemuzik, penari, penyanyi, GRO dan pekerja premis diberi notis untuk hadir bagi memberikan keterangan.

"Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya lagi.

Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil dan disiasat di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sehubungan itu, Mustafar mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Lihat Komen
ADS