Black Metal: Kjaan sedia dua modul khas
Dua modul khas pendidikan bagi menangani masalah akhlak dan akidah remaja, termasuk yang terlibat dengan kumpulan 'Black Metal', akan dilaksanakan di seluruh negara.
"Pencemaran akidah yang berlaku kepada remaja baru-baru ini membimbangkan kita," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Hamid Zainal Abidin hari ini.
Menurutnya, modul setakat ini telah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor.
"Dalam menangani masalah akhlak remaja, kita akan dekati mereka melalui kaunseling dan kursus supaya kita mengetahui masalah mereka," katanya.
Modul itu turut menekankan peranan dan tanggungjawab ibu bapa.
Sekolah-sekolah telah diarahkan menghantar laporan terperinci mengenai pembabitan murid dalam kumpulan 'Black Metal' yang dikatakan bertentangan dengan ajaran Islam dan moral masyarakat. Kumpulan itu dilaporkan bergiat cergas di beberapa bandar utama di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.
Abdul Hamid tidak menafikan kelemahan kurikulum pendidikan agama yang diamalkan di sekolah-sekolah sekarang sebagai punca kemerosotan akhlak pelajar, termasuk di sekolah agama.
"Mungkin kelemahan itu daripada segi pengisian yang gagal dihayati oleh murid-murid sekolah dan ia menyebabkan kefahaman mengenai Islam tidak jitu," jelasnya, dan menambah sekolah-sekolah agama "tidak kebal"
Tambahnya, Kementerian Pendidikan sedang mengemaskini sukatan matapelajaran agama agar memberikan keutamaan kepada aspek akidah dan akhlak pelajar.
Kumpulan 'Black Metal' adalah antara taktik yang digunakan orang Barat untuk mencemarkan akidah orang Islam, tambahnya.

