Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tak perlu kaunseling, ini bukan kes cerai'
Diterbitkan:  Sep 27, 2017 6:46 PM
Dikemaskini: 10:56 AM

Bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim tidak bersetuju sekiranya lelaki berusia 30 tahun yang diberi notis kerana berseluar pendek di Kelantan baru-baru ini diberikan kaunseling.

Menulis di Twitter, Zaid mempersoalkan undang-undang yang diguna pakai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) untuk mewajibkan Wan Khairul Hayee Wali menjalani kaunseling.

"Wan Khairul tak perlukan kaunseling, ini bukan kes cerai," katanya.

Sebaliknya Zaid berkata ahli politik dan pegawai kerajaan yang didapati melakukan rasuah sepatutnya menjalani sesi kaunseling.

Wan Khairul ditahan ketika dalam perjalanan ke gelanggang futsal, pada 25 September lalu.

Dia kemudian diberi notis untuk hadir ke sesi kaunseling bulan depan kerana melanggar Seksyen 5 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan No 2 (1985).

Jika gagal berbuat demikian, dia akan dipanggil ke mahkamah syariah serta berdepan risiko denda RM1,000 jika didapati bersalah.

Sementara itu, anggota jawatankuasa pusat MCA, Ti Lian Ker membidas PAS Kelantan dengan menyatakan paksaan undang-undang terhadap pemakaian boleh menghancurkan asas keharmonian, budaya dan semangat Perlembagaan Persekutuan.

"Tiada siapa boleh dipaksa menerima pandangan ekstremis atau sempit. Kami sentiasa mengambil jalan tengah atau sederhana.

"Sehinggalah PAS menggubal undang-undang, undang-undang kecil dan peraturan yang tidak memiliki semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas penubuhan negara ini.

"Ini bertambah buruk apabila pandangan ekstremis dibenarkan untuk diguna pakai oleh ahli-ahli politik yang bercakap atas nama Tuhan atau menggunakan agama untuk memaksakan pandangan mereka terhadap orang lain," katanya.

Lihat Komen
ADS