Lee nafi Phang jadi kambing hitam skandal PKFZ
Bekas Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Datuk Lee Hwa Beng menafikan dakwaan pihak berkuasa pelabuhan itu menjadikan bekas pengurus besarnya OC Phang sebagai kambing hitam dalam skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
Lee berkata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Jabatan Peguam Negara yang pertama kali mengesyorkan agar PKA mengambil tindakan undang-undang terhadap Phang kerana melanggar tugas fidusiarinya, dan ia dilakukan sebelum beliau mengambil alih jawatan sebagai pengerusi pada 1 April 2008.
"Kedua-dua badan ini membuat cadangan sebelum saya memegang jawatan itu," katanya ketika memberi keterangan di hadapan hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, M Gunalan.
Semalam, peguam Phang menyatakan PKA menerima tekanan politik dan menjadikan anak guamnya sebagai kambing hitam.
Phang disaman oleh PKA pada Disember 2016 ketika mengetuai projek PKFZ, kerana didakwa menyebabkan belanja kos dari hampir RM2 bilion kepada RM4.63 bilion pada tahun 2006.
Lee berkata beliau telah diarahkan oleh menteri pengangkutan ketika itu Datuk Seri Ong Tee Keat untuk bertindak atas skandal PKFZ.

