Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
7 warga Indonesia terselamat dalam kebakaran kapal

Tujuh lelaki warga Indonesia terselamat apabila kapal barter trade yang dinaiki mereka terbakar ketika sedang belayar berhampiran perairan Tanjung Labuh, dekat Batu Pahat, hari ini.

Pengarah Maritim Pangkalan Batu Pahat Lt Komander Maritim Muhammad Zulkarnain Abdullah berkata kesemua mereka yang berumur 24 hingga 58 tahun itu kemudian dibawa ke Jeti Pangkalan Maritim Batu Pahat, sebelum diserahkan kepada ejen kapal bagi tindakan lanjut.

Katanya, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira 8.50 pagi sewaktu kapal MT Rizki Anugerah Nusantara yang membawa muatan kelapa bulat itu sedang belayar dari Indonesia menuju ke Minyak Beku, dekat Johor Bahru.

Ketika tiba di kedudukan tiga batu nautika tenggara Tanjung Labuh, kapal itu terbakar secara tiba-tiba.

Kesemua anak kapal kemudian sempat diselamatkan oleh sebuah kapal tunda yang berada di tempat kejadian.

"Susulan laporan, sebuah bot ronda telah diarahkan ke tempat kejadian bagi memberi bantuan namun setibanya di sana, kita dapati kesemua anak kapal telah diselamatkan dan kapal (kebakaran) sudah terkawal. Tetapi ia tidak dapat ditunda ke pelabuhan kerana tersekat di kawasan cetek," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menambah punca kejadian sedang disiasat oleh pihak ejen kapal.

-Bernama

Lihat Komen
ADS