Tinjauan: 54 peratus mahu Azmin kekal sebagai MB
Satu tinjauan yang dijalankan oleh akhbar, Sinar Harian mendapati 54 peratus responden mahu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kekal sebagai menteri besar Selangor.
Walau bagaimanapun, daripada 550 responden itu, 37 peratus atau 205 responden tidak yakin dengan kepimpinannya dan mahu beliau diganti.
Menurut akhbar itu, 53.2 peratus percaya bahawa kerajaan negeri Selangor bertambah stabil selepas dipimpin Pakatan Harapan sejak lima tahun lalu manakala 38.3 peratus tidak setuju.
Sebanyak 54.1 peratus bersetuju bahawa Azmin berjaya mentadbir dengan baik dan efisien manakala 41.8 peratus tidak bersetuju.
Majoriti penyokong Azmin adalah dari Shah Alam, Klang, Petaling Jaya dan Subang Jaya.
Antara lain, pengundi berpuas hati dengan skim air percuma kerajaan negeri, inisiatif SmartState, skim bas percuma, skim wifi percuma, usaha pengurusan sisa dan skim "Peduli Rakyat".
Akhbar itu bagaimanapun tidak menyatakan siapa yang ditugaskan untuk menjalankan tinjauan atau metodologi yang terlibat.
Azmin, 53, menerajui Selangor bermula 23 Sept 2014 dan kini memasuki tahun ketiga bertugas di pejabatnya.

