Jajaran Tun Razak Link (TRL) Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) Fasa 2 akan dibuka kepada umum mulai jam 5.00 petang ini, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Jajaran sepanjang 9 kilometer ini dijangka menyelesaikan masalah kesesakan di sekitar Kuala Lumpur terutama di Jalan Tun Razak, bulatan Jalan Pahang dan persimpangan Jalan Duta.
"Jajaran Tun Razak Link bukan sahaja dapat membantu dalam penyuraian trafik, tetapi juga berupaya menyediakan sambungan untuk menghubungkan kawasan baharu dengan lebuh raya sedia ada.
"Kawasan sekitar utara Kuala Lumpur terutamanya Gombak, Jalan Genting Klang dan Bandar Baru Sentul juga akan mendapat manfaat daripada akses ini," katanya ketika melancarkan TRL Lebuhraya DUKE Fasa 2 di Plaza Tol Sentul Tambahan hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah Lebuhraya Malaysia, Datuk Ir Ismail Md Salleh dan Pengarah Projek DUKE, Zakaria Shaffie.
Fadillah berkata dianggarkan 25,000 pengguna akan menggunakan jajaran ini setiap hari.
Jajaran TRL bermula di Jalan Tun Razak berhampiran Hospital Kuala Lumpur dan Institut Jantung Negara dan menghala ke utara melalui Jalan Pahang dan Jalan 9/48A untuk menghubungkan ke jajaran sedia ada di Lebuhraya DUKE Fasa 1 dan juga di Jalan Gombak.
"Jajaran ini mengandungi dua persimpangan bertingkat, dua pusingan U bertingkat, empat tanjakan keluar masuk dan satu Plaza Tol iaitu Plaza Tol Tambahan,” katanya.
Fadillah berkata selain TRL, pembinaan Lebuhraya DUKE Fasa 2 yang menelan kos sebanyak RM1.183 bilion juga terbahagi kepada Jajaran Sri Damansara (SDL) sepanjang 7.4 kilometer yang dijangka siap penghujung tahun ini.
Pada 23 Mei lalu, lencongan Jalan Tun Razak DUKE Fasa 2 dibuka kepada pengguna bagi membantu melancarkan trafik sepanjang bulan Ramadan lepas.
Fadillah berkata sejak lencongan tersebut dibuka ia telah dapat mengurangkan masalah kesesakan yang berlaku di Bulatan Pahang dan juga di Jalan Tun Razak.
Laluan ini katanya menjadi alternatif kepada pengguna dari Jalan Tun Razak yang ingin terus ke Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya Kuala Kumpur-Karak (KLK).
- Bernama
