Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
BERSIH bidas SPR tolak undian awal untuk pengundi Sabah, S'wak
Diterbitkan:  Sep 28, 2017 9:59 PM
Dikemaskini: 2:09 PM

BERSIH menolak pendapat Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Mohd Hashim Abdullah berhubung sistem pengundian awal untuk pengundi Sabah dan Sarawak yang bekerja di semenanjung Malaysia.

Dalam kenyataan media hari ini, BERSIH berkata Mohd Hashim mengatakan sistem itu tidak boleh diterima kerana jika dilaksanakan 'keistimewaan' tersebut juga perlu diberikan kepada pengundi dari Kelantan dan Terengganu.

"BERSIH mengingatkan SPR bahawa objektif cadangan ini bukan untuk memberi “keistimewaan” kepada mana-mana pihak, tetapi adalah untuk memudahkan pengundi untuk melaksanakan hak mengundi mereka.

Katanya, berlainan dengan pengundi di semenanjung, pengundi dari Sabah dan Sarawak memerlukan kos yang tinggi untuk pulang mengundi.

"Ia melibatkan kos penerbangan dan pengangkutan tempatan ke kampung, yang boleh mencecah ribuan ringgit dan mengambil masa beberapa hari.

"Ini adalah berlainan dengan keadaan di semenanjung Malaysia kerana kos dan waktu perjalanan untuk pulang adalah dalam lingkungan yang munasabah," jelas kenyataan di dikeluarkan jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0.

BERSIH juga menolak pendapat Mohd Hashim yang mengatakan sistem itu tidak boleh dilaksanakan kerana memerlukan pindaan perlembagaan dengan majoriti dua pertiga di parlimen.

"Ini adalah tidak benar kerana SPR sekadar perlu meminda peraturan-peraturan pilihan raya sedia ada yang sememang adalah di bawah bidang kuasa SPR, khasnya Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 dan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

"Sebagai contoh, SPR telah memperkenalkan sistem pengundian awal dan pengundian pos luar negara pada pilihan raya umum yang lepas tanpa perlu meminda perlembagaan.

"Oleh itu, mengapa pula pengundian awal untuk pengundi Sabah dan Sarawak kini memerlukan pindaan perlembagaan?" soalnya.

BERSIH turut mengingatkan Mohd Hashim dan SPR bahawa isu itu bukan perkara baru dan selaras dengan cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas (PSC) Berhubung Penambahbaikan Proses Pilihan Raya yang ditubuhkan oleh parlimen pada tahun 2011.

"Malangnya, walau pelbagai peringatan dan desakan telah dikemukan, SPR masih enggan melaksanakan pembaharuan ini demi kebaikan pengundi dan sebaliknya memberi pelbagai alasan.

"BERSIH menegaskan bahawa SPR perlu lebih serius dalam memperbaiki sistem pilihan raya sebelum PRU14, supaya hak rakyat untuk mengundi dapat dilaksanakan secara adil," tegasnya.

 

Lihat Komen
ADS