Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suspek kes samun, 4 lelaki perwatakan lembut ditahan
Diterbitkan:  Sep 29, 2017 6:05 AM
Dikemaskini: 10:07 PM

Sekumpulan lelaki yang berperwatakan lembut diberkas polis awal pagi semalam, setelah cubaan mereka untuk menyamun premis serbaneka 24 jam di pusat bandar Parit Buntar, berjaya ditumpaskan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata dalam kejadian jam 3 pagi itu, sepasukan anggota polis yang membuat rondaan di kawasan berkenaan terserempak dengan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di atas sebuah motosikal berhampiran premis KFC di pusat bandar Parit Buntar.

Beliau berkata anggota polis berkenaan segera menahan kedua-dua lelaki terbabit dan siasatan yang dijalankan menemukan sebilah parang terselit pada bakul motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggang mereka.

"Selain parang, polis turut menemukan sebilah pisau dan dua kain skaf di dalam beg galas yang dipakai mereka.

"Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek berumur 21 dan 18 tahun itu mengaku untuk melakukan cubaan samun di premis itu bersama dua lagi rakan mereka yang bertindak sebagai tonto", katanya kepada pemberita di Bagan Serai semalam.

Omar Bakhtiar berkata susulan maklumat itu, pihaknya kemudian berjaya memberkas dua lagi rakan mereka, masing-masing berumur 26 dan 17 tahun di kawasan kilang berhampiran lokasi kejadian.

Beliau berkata siasatan terhadap empat suspek terbabit mendapati dua daripadanya mengaku terlibat dalam dua kes samun premis serbaneka 24 jam di Jalan Besar dan Jalan Siakap yang dilaporkan tahun ini.

"Polis juga menemukan sebuah telefon pintar milik salah seorang mangsa samun yang digunakan oleh seorang suspek," katanya.

Beliau berkata kesemua suspek direman selama enam hari bermula semalam.

Katanya dengan tertangkapnya kesemua suspek terbabit, dua kes samun premis serbaneka 24 jam yang dilaporkan sepanjang tahun ini berjaya diselesaikan.

- Bernama

Lihat Komen
ADS