Aksi ghairah pakai bendera Msia, penerbit diarah beri penjelasan
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) akan meminta penerbit sebuah majalah lelaki berbahasa Melayu memberikan penjelasan berhubung penyiaran gambar separuh bogel seorang model wanita yang membalut tubuhnya dengan bendera Malaysia.
Kementerian Keselamatan Dalam Negeri (KDN) akan meminta penerbit sebuah majalah lelaki berbahasa Melayu memberikan penjelasan berhubung penyiaran gambar separuh bogel seorang model wanita yang membalut tubuhnya dengan bendera Malaysia.
Timbalan Menterinya, Datuk Noh Omar berkata ia merupakan tindakan segera kementerian itu sebelum mengambil tindakan lain, termasuk memberi amaran kepada penerbit majalah itu atau mengambil tindakan membatalkan lesen penerbitannya.
Katanya, perbuatan itu adalah satu penghinaan terhadap bendera yang menjadi keagungan sesebuah negara.
Penerbit berkenaan tidak sensitif mengenai kedudukan Jalur Gemilang, katanya.
Foto tersebut disiarkan dalam majalah " Sensasi Lelaki' isu bulan Ogos sempena Hari Kebangsaan Malaysia pada 31 Ogos.
"Bendera adalah sesuatu yang sensitif... Pihak terbabit perlu memberi alasan munasabah berhubung perkara itu. Kementerian akan siasat...mungkin orang yang melakukan perkara itu tidak tahu mengenai kedudukan bendera atau mereka terlalu ghairah untuk menyambut kemerdekaan," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis makan malam sempena Kempen Anti-dadah Kebangsaan
peringkat negeri Pulau Pinang malam tadi, Noh berkata, mengikut prosedur biasa, kementerian tidak akan terus menarik balik lesen penerbitan syarikat itu, tetapi akan meminta mereka memberikan surat tunjuk sebab diikuti dengan amaran supaya perbuatan itu tidak berulang.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, jika syarikat terbabit itu masih meneruskan perbuatan seperti itu pada masa depan, lesen penerbitannya akan dibatalkan.
Muat-turun gambar lucah
Beliau mengulas tindakan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang membuat laporan polis terhadap majalah tersebut keluaran Ogos. Kimma meminta kementerian mengharamkan lesen penerbitan majalah itu.
Dalam perkembangan lain, Noh menasihatkan pengguna telefon bimbit supaya tidak menyimpan atau memuat turun gambar-gambar lucah ke dalam telefon mereka kerana perbuatan itu boleh menyebabkan mereka ditahan dan didakwa oleh polis.
Katanya jika pemeriksaan polis mendapati mereka menyimpan gambar-gambar lucah dalam telefon bimbit, maka mereka boleh didakwa mengikut Kanun Keseksaan.
"Pihak polis telah diminta supaya mengambil tindakan proaktif terhadap perkara ini supaya ia dapat dibendung dan tidak dijadikan budaya oleh masyarakat kita. Selain pemilik telefon, pengusaha kedai telekomunikasi yang memuat turun gambar-gambar lucah juga boleh didakwa," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Christopher Wan Soo Kee berkata pihak polis akan mengambil tindakan terhadap pengusaha kedai telekomunikasi yang memuat turun gambar-gambar lucah untuk pelanggan mereka.
Beliau meminta orang ramai memaklumkan kepada pihak polis jika mengetahui mengenai kegiatan itu.

