PAS menyalahkan polis, yang menurutnya menjadi punca berlaku kekacauan awam, selepas ceramah parti itu berlangsung di sebuah masjid di Kampung Batu Enam dekat sini, Jumaat lalu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali berkata sekiranya polis tidak bertindak ke atas penganjuran ceramah tersebut, keadaan seperti itu mungkin tidak akan berlaku.

"Tindakan melepaskan gas pemedih mata ke atas orang ramai yang menghadiri ceramah PAS ini adalah kali pertama berlaku selepas 20 tahun, yang mencerminkan ketakutan kerajaan negeri terhadap kebangkitan rakyat.

"Tindakan polis ini menjadi punca kekacauan awam, dan polis tidak mesra rakyat," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat PAS Terengganu semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas insiden penahanan tujuh lelaki yang disyaki menyerang polis dan bangunan pejabat Umno Bahagian Kuala Nerus, selepas anggota pasukan keselamatan itu menggunakan gas pemedih mata bagi menyuraikan ceramah PAS yang dikatakan tidak mendapat permit polis.

Polis pula berkata, sejumlah 12 orang ditahan, termasuk lima orang pada hari Ahad, berhubung dengan dua ceramah politik yang diadakan pada hari Jumaat di Kampung Batu Enam.

Setakatnya, polis telah menahan 12 lelaki untuk membantu siasatan kes dua perhimpunan haram yang dianjurkan oleh sebuah parti politik pada hari Jumaat.

Polis menggunakan gas pemedih mata dan meriam air untuk meleraikan lebih 2,000 yang menghadiri majlis ceramah tersebut. Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dijadual berucap di majlis tersebut.

Kalangan hadirin pula membalas tindakan polis itu dengan membaling batu dan botol air menyebabkan beberapa kereta polis rosak dan dua tiang bendera, lapor akhbar New Straits Times.

Permit polis

Ditanya apakah benar ceramah di masjid Batu Enam itu tidak mempunyai permit polis, Mustafa berkata, setahu beliau ceramah di kawasan masjid tidak memerlukan permit.

"Kita akan terus berceramah kerana itu menjadi sebahagian daripada aktiviti kita dan kami tidak akan tunduk dengan tindakan yang bertengangan dengan undang-undang. Dan kami harap semua pihak akan menghormati prinsip ini," katanya.

Ketika ditanya apakah benar "serangan" ke atas pejabat Umno itu dilakukan penyokong PAS, Mustafa berkata: "Ia mungkin dilakukan orang Umno sendiri atau ahli cawangan khas polis. Biarlah polis menjalankan siasatannya," kata beliau.

Dalam pada itu, Mustafa berkata, PAS yang diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Omar pada 1 September ini bagi membincangkan pelbagai isu-isu semasa.