Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Sosial Malaysia (Perbak), Muhammad Khairul Hafiz Abdul mendakwa terdapat bukti perbuatan liwat dan penderaan seksual membabitkan sebuah pusat jagaan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Melaka.

Khairul berkata sehingga kini polis mahupun JKM sendiri tidak mengambil tindakan terhadap pelaku yang merupakan  seorang warden berusia lebih 50 tahun walaupun laporan polis dibuat sejak tahun 2010.

"Saya desak kes ini dibuka semula dan tindakan drastik diambil walaupun berlaku beberapa tahun lepas asalkan hukuman setimpal dikenakan," katanya menambah laporan polis dibuat pada tahun 2010, 2011 dan terbaru pada tahun ini.

Khairul berkata demikian kepada Malaysiakini dan FMT ketika ditemubual di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya semalam.

Menurut Khairul, beliau tidak membuat tuduhan palsu dan dakwaan itu dibuat berdasarkan pengakuan mangsa dan pengalaman beliau sendiri sebagai bekas kanak-kanak di pusat jagaan berkenaan.

“Saya pernah tengok depan mata saya dan semasa saya tingkatan 2, orang yang sama pernah cuba membuat sesuatu (liwat) terhadap saya.

"Sehingga kini seramai sembilan orang sudah membuat aduan dan kebanyakan mangsa berumur 13 hingga 18 tahun," katanya.

Katanya, pelaku juga menyogok mangsa dengan wang dan mengugut supaya tidak membocorkan rahsia itu kepada pihak lain selain mengancam untuk menukarkan sekolah mereka jika perkara itu didedahkan.

"Saya ada bukti dari A-Z malah pengakuan daripada pegawai terbabit saya rakam, tapi bila saya tanya pelaku berapa mangsa dia liwat, dia kata tidak ingat jumlah," katanya.

Khairul turut melahirkan rasa kesal terhadap JKM yang didakwanya cuba bersikap lepas tangan dan ingin menutup kes tersebut.

Malah beliau pernah pernah membuat laporan polis terhadap jabatan itu pada tahun 2012 kerana menafikan kejadian berkenaan.

"Saya pernah lapor kes ini kepada JKM tetapi mereka tidak ambil tindakan dan tiada hukuman dikenakan, sebaliknya alasan yang di berikan pihak mereka mahu menyiasat terlebih dahulu.

"Kenapa pegawai ini dibiarkan begitu sahaja, kenapa tidak dipenjara," katanya.

 

Lihat Komen
ADS