Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Majlis Tertinggi (MT) Umno memberi mandat penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam menentukan siapa calon bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata walaupun tradisi parti membenarkan akar umbi untuk membuat cadangan namun penetapan itu dibuat setelah kata sepakat diperolehi rakan komponen BN.

Kata Annuar, ia juga dibuat selaras dengan aspirasi rakyat.

"Kita tidak mahu ikat (bebankan) presiden dengan pelbagai masalah seperti (memenuhi) kuota dengan sayap pimpinan bahagian dan sebagainya.

"Sebaliknya, kita mesti beri kelonggaran sepenuhnya kepada perdana menteri sebab beliau akan melihat gambaran yang lebih besar dan mesti ada mandat penuh untuk susun barisan kepimpinan yang lebih baik untuk negara," kata Annuar kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pasca-Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu pejabat Umno, Kuala Lumpur, hari ini.

Letak calon terbaik

Mengulas lanjut, Annuar berkata apa yang pasti pihak parti akan meletakkan calon terbaik serta mampu menewaskan pihak lawan.

“Yang pastinya kita akan letakkan calon lebih baik dan berkeupayaan daripada pihak lawan dan dalam Umno juga tiada peratusan dalam pilih calon pilihan raya,” kata Annuar.

Dalam pada itu, Annuar berkata, setiap parti politik yang bertanding bertanggungjawab mendidik pemilih untuk keluar mengundi dalam PRU14.

Anwar berkata, kerajaan hanya mampu berusaha memastikan mereka yang layak untuk mengundi mendaftar sebagai pemilih.

“Pemilih yang layak memilih, namun enggan keluar mengundi, itu kita harap tidak berlaku.

“Dalam negara kita, kerajaan percaya kepada kebijaksanaan rakyat, kita galakkan mereka yang cukup syarat umur harus daftar mengundi namun siapa yang nak kita pilih dalam pilihan raya itu hak kita, tapi kita perlu daftar pemilih.”

Tambah anggota Parlimen Ketereh itu lagi, kerajaan juga berusaha melalui kempen daftar pemilih untuk memastikan rakyat mendaftar sebagai pemilih.

“Mereka tak daftar mengundi itu agak malang. Jadi kita telah cuba jalankan beberapa kempen untuk galakkan pendaftaran mengundi.

Kata Annuar, hasil kajian menunjukkan 52 peratus daripada pemilih kali ini adalah mereka yang berusia di bawah 40 tahun.

Sehubungan itu, Umno katanya, mengambil berat peranan kelompok pengundi berkenaan.

“Umno akan terus bukan sahaja memberi pembelaan tetapi keperluan aspirasi dan peranan mereka dalam kerajaan dan parti,” katanya.
 

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS