Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Polis tidak akan meluluskan sebarang permit bagi penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang pada 12 dan 13 Okt ini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP Mazelan Paijan ketika dihubungi berkata festival yang dinamakan Centro German F&B Party itu turut menyediakan minuman keras atau arak.

Katanya polis menerima arahan supaya menyekat sebarang penganjuran pesta arak.

“Pihak saya tidak membenarkan seperti arahan yang dikeluarkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini supaya polis memastikan tiada sebarang pesta arak dianjurkan," katanya.

Sehingga kini juga kata Mazelan polis belum menerima sebarang surat permohonan daripada penganjur.

Sekiranya ada pihak mendakwa sudah mendapat kelulusan, katanya, itu adalah surat kebenaran palsu.

Semalam, Naib Pengerusi DAP Selangor Datuk Teng Chang Khim berkata pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan untuk membuat keputusan mengikut peraturan serta undang-undang sedia ada berhubung pesta arak atau minuman keras di negeri ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana dan Pengangkutan negeri bagaimanapun berkata kerajaan negeri secara dasarnya menghormati proses demokrasi dan menghormati hak setiap rakyat Selangor tanpa mengira kaum dan agama.

Sebelum ini, Majlis Perbandaran Klang dilapor meluluskan penganjuran pesta makanan dan minuman itu tetapi perlu mematuhi beberapa syarat, termasuk melarang kemasukan orang Islam ke kawasan penganjuran acara selain perlu mendapatkan permit daripada pihak berkuasa.

- Bernama

Lihat Komen
ADS