Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Harga barang mahal bukan salah parti politik - Azmin

Parti politik tidak seharusnya dipersalahkan sekiranya berlaku kenaikan harga barangan, kata Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

Katanya, kenaikan harga barangan di dalam negara ini berpunca daripada inflasi dan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang diperkenalkan Kerajaan Persekutuan.

"Kesan kenaikan harga barang kerana inflasi dan GST. Ini semua orang maklum kos bertambah mahal, kenapa salahkan parti," katanya selepas merasmikan majlis Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat Dan Ramah Mesra bersama menteri besar Selangor di Masjid al-Khairiyah, Gombak, hari ini.

Azmin berkata demikian mengulas dakwaan Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos bahawa orang tengah yang pro-pembangkang menjadi punca harga ikan begitu tinggi sekarang.

Azmin yang juga anggota parlimen Gombak berkata, beliau hanya mengetuai kerajaan negeri dan tidak mempunyai kuasa bagi menentukan dasar berkaitan peningkatan harga barang.

"Kita tiada kuasa di peringkat Persekutuan untuk laksana dasar membantu rakyat.

"Apa yang kita dapat lakukan hanyalah dari segi negeri, di luar kerajaan negeri kita tunggu pilihan raya umum akan datang," kata menteri besar Selangor itu.

Jamal semalam dilaporkan berkata, kenaikan harga ikan di pasaran berpunca dari orang tengah yang memainkan peranan bermotifkan politik.

Jamal sebelum ini menganjurkan program menjual empat jenis ikan rakyat pada harga RM5 sekilogram di Ibu Pejabat Umno Ampang

Setiap individu dihadkan membeli dua kilogram untuk mana-mana ikan yang ditawarkan iaitu Kembung, Cencaru, Selayang dan Mabong.

Lihat Komen
ADS