Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Tan Sri Muhammad Muhammad Taib hari ini menegaskan beliau tidak pernah merancang membawa sesiapa termasuk wakil rakyat Selangor untuk bersamanya menyertai Umno.

Sebaliknya bekas menteri besar Selangor itu mendakwa khabar berkenaan disebarkan oleh pihak ketiga iaitu "spin master" (pakar putar-belit maklumat).

"Saya pun tak tahulah siapa pulak yang memandai-mandai (buat dakwaan berkenaan).

"Spin master ni, saya tak tau mana dia dapat," katanya pada sidang media di Shah Alam hari ini.

Muhammad ialah veteran Umno yang pernah berkhidmat sebagai naib presiden parti itu pada 1993. Beliau adalah sebahagian daripada Team Wawasan dipimpin Datuk Seri Anwa Ibrahim yang memenangi jawatan timbalan presiden - tanpa bertanding - ketika itu.

Bersama Muhammad di kerusi naib presiden Umno ialah Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun Muhammad yang pernah didakwa - tetapi didapati tidak bersalah - oleh mahkamah Australia meletak jawatan pada April 1997.

Muhammad kemudian menyertai PAS secara rasmi dua hari selepas penamaan calon untuk pilihan raya umum ke-13 pada 2013 sebagai bukti beliau tidak berminat untuk bertanding.

Beralih demi Melayu

Pada 2015 Muhammad kemudian beralih parti ke PKR sebelum diumum kembali kepada Umno pada 17 Sept lalu.

Kemasukan Muhammad itu diumum sendiri oleh perdana menteri. Disebabkan keadaan menjelang pengumuman yang dirahsiakan itu, ia disebut-sebut sebagai sesuatu yang besar.

Portal The Malaysian Insight pula - dengan memetik sumber tidak dinamakan - mendakwa sejumlah anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor akan menyertai Muhammad memasuki Umno dan memungkinkan hayat kerajaan Pakatan Harapan di negeri itu berakhir.

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa semakin menghangatkan lagi spekulasi berkenaan dengan dakwaannya pada 18 Sept.

"Saya sahkan memang ada anggota daripada Pakatan Harapan yang akan menyertai Umno dan kembali kepada Umno.

"Pengumuman itu kami akan dilakukan secara berperingkat, kita tunggu sahajalah," katanya dipetik Bernama.

Kata Muhammad, terserah kepada orang ramai untuk membuat spekulasi berkenaan namun beliau menegaskan tiada sesiapa yang termasuk dalam rancangannya kembali kepada Umno.

Sementara itu Muhammad berkata apa yang ingin dilakukan dengan kembali rujuk ke parti asalnya itu ialah berjuang demi bangsa Melayu.

Justeru, katanya, terserah kepada orang ramai untuk menerimanya atau tidak.

"(Rancangan untuk membawa ADUN) itu bukan daripada saya. Tapi saya tak tahulah yang lain-lain, wallahualam," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS