Polis menahan seorang kakitangan kerajaan yang dipercayai melanggar isteri dan anak lelakinya dengan kereta selepas pasangan suami isteri itu bergaduh di rumah mereka.

Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Pahang DSP Azman Noor Mohamed berkata, lelaki itu dikatakan bergaduh dengan isterinya Khamis lalu setelah mengetahui beliau berkahwin lain, menyebabkan isterinya yang berusia 46 tahun, melarikan diri.

"Selepas bergaduh dan dipukul suaminya, surirumah berkenaan membawa beg pakaian keluar dari rumah dan dikejar anak lelaki mereka yang berusia 17 tahun untuk memujuk ibunyanya pulang," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.

Lelaki itu yang berusia 48 tahun, dipercayai memandu kereta dan melanggar isteri dan anaknya, di simpang tiga Taman Ria, Jerantut, menyebabkan kedua-dua mangsa cedera dan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Jerantut.

Menurut laporan Bernama, Azman berkata, ekoran kejadian itu polis menahan suspek dan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.

Pelajar 14 tahun ditahan

Sementara itu, polis menahan tiga gadis, termasuk dua pelajar berusia 14 tahun, di sebuah bilik hotel di Temerloh kerana dipercayai mengguna dan memiliki dadah jenis syabu.

Ketua Jabatan Narkotik Pahang DSP Abdul Razak Md Zin berkata sepasukan anggota polis dari Bahagian Narkotik Temerloh menyerbu bilik berkenaan Jumaat lepas dan menahan mereka bersama seorang lelaki berusia 39 tahun di situ.

Beliau berkata remaja perempuan berusia 15 tahun itu tidak lagi bersekolah.

Sejumlah 1.5 gram dadah jenis syabu turut ditemui di situ dan keempat-empat mereka ditahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Abdul Razak berkata lelaki berkenaan turut disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana dipercayai terbabit dalam satu kes rogol.