Kerajaan kaji untuk kurangkan lagi subsidi minyak
Kerajaan akan mengkaji subsidi minyak dan ada kemungkinan ia akan dikurangkan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Ng Yen Yen.
Kerajaan akan mengkaji subsidi minyak dan ada kemungkinan ia akan dikurangkan, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Ng Yen Yen.
"Mengurangkan subsidi minyak, secara tidak langsung, akan meningkatkan produktiviti ekonomi," katanya kepada pemberita di Persidangan Kebangsaan mengenai Audit Dalaman 2005 yang diadakan di Institut Juruaudit Dalaman Malaysia, hari ini.
"Kita sedang mengkajinya," katanya tetapi enggan menyatakan tarikh tertentu kerajaan akan membuat pengumuman.
Malaysia terpaksa mengorbankan pendapatan RM11.1 bilion dalam bentuk cukai jualan produk petroleum yang tidak dikutip dan subsidi petroleum bagi membolehkan harga petroleum dinaikkan pada kadar sederhana sahaja tahun lalu.
Ng, sebelum ini, berkata kerajaan akan mengkaji dengan teliti kesan sebarang pengurangan subsidi minyak ke atas pengguna dan ekonomi negara dalam Bajet 2006 yang akan dibentangkan nanti.
Ini adalah isu yang amat penting dan perlu dikaji dengan teliti, tegasnya.
"Kita mesti pertimbangkan kedua-dua pihak. Kita tidak boleh kaji satu pihak dan lupakan yang satu lagi. Kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya untuk menangani isu ini," katanya.
Subsidi RM6.63 juta
Harga minyak mentah dunia kini melepasi paras AS$60 setong.
Ng berkata, subsidi yang ditanggung oleh kerajaan pada 2004 berjumlah RM4.8 bilion. Angka ini dijangka meningkat kepada RM6.63 bilion menjelang akhir 2005.
Menurut laporan Bernama, angka bagi tahun ini mengambil kira kenaikan kedua harga produk petroleum yang berkuatkuasa pada 31 Julai 2005.
Selain itu, katanya, kerajaan juga akan terpaksa memikul beban pengecualian cukai bagi tahun 2005 berjumlah RM7.85 bilion.
Ini bererti keseluruhan kerugian yang akan dialami kerajaan berjumlah RM14.48 bilion, katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.