Stephen Paddock, lelaki yang melepaskan tembakan yang mengorbankan lebih 50 nyawa di Las Vegas, Nevada, Ahad lalu, disifatkan sebagai seorang yang gemar berjudi, malah dikesan menghabiskan beberapa puluh ribu untuk kegiatan itu sejak beberapa minggu lalu.

Namun, beliau bukanlah dikenali sebagai seorang yang cenderung ke arah keganasan di kalangan mereka yang dekat dengannya.

"Dia seorang yang kaya dan suka bermain poker video, dia juga suka melancong menaiki kapal," kata adiknya Eric Paddock, seperti dilapor Reuters.

Katanya lagi, Eric malah berpindah ke Nevada kerana undang-undang berkaitan judi yang lebih longgar di sana.

Ahad lalu, Paddock melepaskan tembakan rambang ke arah hadirin sebuah festival muzik dari biliknya di tingkat 32 Mandala Bay, sebuah hotel yang dilengkapi kasino.

Dia dibunuh selepas polis berjaya mengesannya.

Polis menemui sejumlah 34 senjata miliknya, termasuk 16 di bilik hotel dan 18 lagi di rumahnya di Mesquite, sebuah bandar kecil di Las Vegas.

Sebahagiannya adalah senjata automatik dan semi-automatik yang diubahsuai menjadi mesingan.

"Sukar dipercayai, dia tidak pernah menggunakan senjatanya...Dia juga tiada apa-apa kaitan dengan mana-mana pertubuhan politik dan agama," kata Eric yang ternyata terkejut dengan tindakan abangnya itu.

Stephen Paddock tinggal bersama-sama teman wanitanya yang berada di Jepun ketika insiden berlaku. Polis berkata mereka akan mengambil kenyataannya selepas dia pulang dari sana.

Sementara itu, Reuters dalam laporan berlainan memetik pegawai AS sebagai berkata, Paddock tiada apa-apa hubungan dengan kumpulan militan antarabangsa.

Ia di sebalik dakwaan pengganas Islamic State (IS) yang mereka bertanggungjawab atas insiden itu.

Agensi berita IS, Amaq mendakwa yang Paddock memeluk Islam beberapa bulan lalu dan memakai nama 'Abu Abd al-Bar al-Ameriki'.

Pegawai AS itu berkata mereka sedang menyiasat dakwaan tersebut, namun setakat ini tiada bukti yang menunjukkan ia benar dan nama Paddock juga tiada dalam pangkalan data suspek pengganas.

[Baca berita penuh]