Penulis buku "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM", Datuk Khalid Jafri Bakar Shah, meninggal dunia kira-kira jam 3 petang tadi di Hospital Selayang di Kuala Lumpur akibat sakit kencing manis.

Allahyarham, 65, meninggalkan seorang balu Datin Rozihan A. Ghani, 40, serta empat anak lelaki dan seorang perempuan Rezza, 20, Najib, 19, Nabila, 16, Nabil, 14, dan Iqbal, 10.

Jenazah allahyarham yang dibawa ke kediamannya di PD Villa, Port Dickson, dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Teluk Kemang, Negeri Sembilan, pagi esok.

Allahyarham yang sebelum ini dirawat di pusat perubatan swasta di Seremban, dipindahkan ke Hospital Selayang 15 Ogos lepas setelah tenat akibat penyakit itu.

Rozihan ketika ditemui pemberita berkata allahyarham meninggal dengan tenang di sisi beliau dan lima anak di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.

"Allahyarham sempat mengucap sebelum menghembuskan nafas terakhir," katanya.

Menurut laporan Bernama, Rozihan yang bersedih, mengiringi jenazah suaminya dengan menaiki van jenazah kira-kira 5.10 petang tadi untuk pulang ke kediaman mereka.

Pada 9 Oktober tahun lalu, Khalid menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka yang membawa gelaran Datuk daripada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohamad Khalil Yaakob, sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-66.

Dihukum penjara

Pada 8 Julai lalu, Khalid dihukum penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen Ampang di sini selepas didapati bersalah menulis maklumat palsu dalam buku mengenai bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Khalid juga diminta membayar ganti rugi RM4.5 juta kepada Anwar setelah mahkamah mendapatinya mempunyai niat jahat terhadap Anwar yang ketika itu memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan parti politik.

Beliau bagaimanapun dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi.

Kes itu dibicarakan selama hampir tujuh tahun dengan pihak pendakwaan memanggil 11 saksi termasuk setiausaha sulit Anwar, Azmin Mohd Ali.

Pihak pembelaan pula mengemukakan dua saksi termasuk keterangan Khalid sendiri dan Datuk Musa Hassan yang kini Timbalan Ketua Polis Negara.