Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Selepas PAS, Umno bertahaluf dengan Parti Komunis China?

Mengikut portal Umno Online, Parti Komunis China (CPC) telah menjemput Umno menghadiri kongresnya pada 19 pada 18 Oktober ini.

Laporan tersebut juga menyebut Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata beliau menghargai kerjasama rapat antara Umno dan Parti Komunis China tersebut. Kemesraan makin menyerlah di antara dua pihak berkenaan.

Kerjasama antara kerajaan Malaysia dan negara China adalah perkara biasa tetapi kerjasama di antara Umno dan Parti Komunis China- CPC, adalah perkara yang berbeza dan bukan kebiasaan.

Adakah ini satu tahaluf yang baru yang akan dijalin? Cuba kita bayangkan kalau kerjasama ini terjalin antara parti dari komponen Pakatan Harapan dengan CPC, seperti hendak kiamat agaknya suasana di negara ini!

Haji Mat Sabu pernah dituduh kononnya bersimpati dengan komunis tidak lama dahulu. Abu dari mayat Chin Peng ketua komunis yang telah mati pun diharamkan oleh kerajaan dibawa masuk ke Malaysia untuk ditanam. Begitu takutnya Malaysia pada ideologi komunis yang telah mati dan tidak mempunyai kuasa lagi.

Hairannya kerajaan kita begitu mesra pula dengan China Komunis yang merupakan di antara kuasa tentera dan ekonomi agresif terbesar dunia hingga sanggup menggadai negara dengan menjual aset utama negara termasuk aset strategik seperti lapangan terbang tentera Sungai Besi dan menawar pelabuhan-pelabuhan utama di Kuantan, Johor Bahru, Melaka, Kelang dan Pulau Pinang.

Di manakah konsistensi kerajaan Malaysia? Kalau rakyat Malaysia keturunan Cina terutamanya dari DAP digambarkan sebagai ancaman kepada survival Melayu, kepada China Komunis negara kuasa besar asing dibukanya pula pintu negara seluas-luasnya peluang sehingga boleh menjadi risiko tinggi pada keselamatan dan kedaulatan negara.

Rupa-rupanya wang ringgit negara komunis boleh menjadi penawar kepada semua dosa ideologi komunis yang dahulunya digeruni. Bukankah umat Islam saudara kita di bahagian Barat negara China di Xinjiang sedang didiskriminasi, ditindas dan dibunuh beramai-ramai begitu lama?

Rekod buruk terhadap umat Islam

Rekod hak asasi manusia negara China Komunis terhadap umat Islam warga mereka sendiri adalah amat buruk dan dilaporkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Kaum Uighur beragama Islam telah dilarang berpuasa dan banyak lagi sekatan ke atas agama Islam dikenakan.

Ini adalah ideologi komunis yang tidak membenarkan kebebasan beragama dan umat Islam adalah sasaran utama. Kini Umno dan Parti Komunis China menjalinkan kerjasama yang erat demi kepentingan kewangan.

Adakah wang pelaburan negara China boleh membasuh bersih dan mensucikan darah umat Islam yang telah ditumpahkan oleh rejim kejam parti komunis yang Umno makin mesra hari ini?

Kalau benar, betullah ia "cash is King" dan boleh menyelesaikan segala masalah dan dosa. China dari Parti Komunis negara asing memperoleh layanan dan keistimewaan yang lebih baik dari China rakyat warga Malaysia sendiri.

Adakah Umno berhasrat untuk bertahaluf dengan Parti Komunis China di peringkat antarabangsa dan pada masa yang sama bertahaluf dengan parti PAS di dalam negara?

Ini adalah konsep tahluf yang sangat canggih dan yang mengelirukan banyak pihak, terutamanya penyokong PAS di bawah.

PAS adalah parti yang perlembagaannya mendokong agama Islam, sementara CPC parti komunis yang menghalang kebebasan beragama. Tetapi kita mungkin tidak harus keliru lagi.

Umno yang pekat dengan semangat nasionalisnya telah boleh "memelayukan" PAS hingga menjadi lebih kebangsaan. Mungkinkah Umno boleh pula "me-Melayukan" Parti Komunis China pula?

Atau, mungkinkah PAS boleh membantu UMNO 'meng-Islamkan" Parti Komunis China? Tetapi adakah ini boleh dilakukan kerana ahli Parti Komunis China bukan Melayu!
Bukankah pimpinan atasan PAS hari ini berpegang kepada konsep Islam- Melayu seperti Umno juga? Lainlah kalau PAS masih berpegang kepada konsep PAS For All dan juga Islam For All dari era almarhum Tok Guru Nik Aziz Nik Mat yang kini telah hilang entah ke mana!


DATUK RAJA BAHRIN SHAH adalah Pengerusi Biro Antarabangsa, AMANAH

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 

Lihat Komen
ADS