Terjemahan Kerajaan menafikan laporan bahawa ahli perniagaan warga Sri Lanka, BSA Tahir telah dibebaskan daripada tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Dia masih ditahan di bawah ISA," kata Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar (foto) ketika dihubungi semalam.

Ditanya sama ada dia kini diletakkan di bawah perintah kediaman terhad, Noh berkata, Tahir masih menjalani hukuman tahanan selama dua tahun di bawah ISA di Kem Kamunting.

Semalam, lamanweb rasmi PAS, Harakahdaily, menyiarkan laporan yang mendakwa Tahir telah dibebaskan sebulan lalu dan telah pulang ke rumahnya di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

Jaringan antarabangsa

Tahir (foto) ditahan di bawah ISA pada 28 Mei di Kuala Lumpur dan terus dihantar ke Pusat Tahanan Kamunting di Perak.

Dia dianggap sebagai 'tahanan istimewa' kerana tidak melalui sesi soalsiasat dalam 60 hari pertama penahananya, sepertimana yang dilakukan terhadap tahanan ISA yang lain.

Tahir didakwa sebagai 'peneraju utama' dalam rangkaian antarabangsa yang membekalkan komponen untuk program senjata nuklear Libya.

Sewaktu soalsiasat, beberapa nama timbul, termasuk anak Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi Kamaluddin pengendali syarikat yang berurusan dengan Tahir. Polis bagaimanapun berkata, Kamaluddin tidak melakukan sebarang kesalahan.

Namun begitu, beberapa pemimpin pembangkang dan badan hak asasi manusia, telah mempersoalkan mengapa Tahir ditahan di bawah ISA, sedangkan sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Seri Mohd Bakri Omar berkata, Tahir tidak terbabit dalam skandal tersebut.

ISA membolehkan kerajaan menahan tanpa bicara, mana-mana individu yang disyaki menjadi ancaman kepada keselamatan negara, untuk tempoh selama dua tahun.