Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pengasas dan bekas anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kamarulzaman Habibur Rahman hari ini membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas dakwaan memfitnahnya.

Bercakap dengan pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini, Kamarulzaman berkata ketua pemuda BERSATU itu telah menuduhnya menerima "dedak" untuk meninggalkan parti itu.

"Ini satu dakwaan berniat jahat dan mencemarkan nama saya sebagai guru, sebagai pegawai pejabat pendidikan daerah," katanya.

Beliau memberikan tempoh seminggu bagi Syed Saddiq menarik balik kenyataan itu jika tidak mahu berhadapan tindakan undang-undang.

Kamarulzaman menafikan telah didekati mana-mana pihak dan ditawarkan sogokan agar meninggalkan parti itu, seperti didakwa Syed Saddiq.

"Sebenarnya tiada tawaran dedak atau apa tawaran sekalipun. Saya tidak faham niatnya, beliau sepatutnya mendedahkan bukti dan bukan mencari publisiti murahan," katanya.

Syed Saddiq pada sidang media Isnin lalu mendakwa wujudnya konspirasi untuk melemahkan BERSATU dengan "mengancam dan menyogok" para pengasasnya, antaranya Kamarulzaman, bekas naib presiden Datuk Hamidah Othman dan dirinya sendiri.

Beliau juga mendakwa tawaran itu, termasuk wang berjumlah RM5 juta, berkaitan dengan seorang individu dalam pejabat perdana menteri.

Mengulas lanjut, Kamarulzaman menyifatkan dakwaan itu sebagai "mengarut", memandangkan beliau dan bekas pemimpin parti yang lain berkempen menentang Umno sebelum ini.

"Itu mengarut. Kita boleh menilai sendiri sama ada ia benar atau fitnah," katanya.

Katanya, pemimpin BERSATU sepatutnya mencari punca apabila meninggalkan parti itu, bukannya menuduh pihak lain cuba melemahkan mereka.

Lihat Komen
ADS