Petronas, menerusi anak syarikat milik penuhnya Petronas International Corporation Ltd, memegang 50 peratus pegangan dalam Projek Kilang Penapis Pelabuhan Sudan yang baru.

Baki 50 peratus lagi ekuiti, dipegang oleh Kementerian Tenaga dan Perlombongan Sudan.

Kedua-dua Petronas dan Kementerian Sudan itu akan melabur, membangun dan mengendalikan bersama kilang penapis eksport ini.

Semalam, Petronas telah memuktamadkan pembabitannya dalam projek tersebut yang secara rasminya meluaskan lagi penyertaannya dalam perniagaan hiliran di negara itu, berikutan pembelian keseluruhan aset runcit Mobil Oil Sudan Ltd menerusi anak syarikat milik penuhnya PETRONAS Marketing Sudan Ltd (PMSL) pada Mac 2003.

Majlis tersebut yang diadakan di Khartoum, sempena sambutan ulang tahun keenam Hari Petroleum Sudan, dirasmikan oleh Menteri Tenaga dan Perlombongan Sudan, Dr Awad Ahmed El-Jaz dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Negara Mohammed Hassan El-Zubair, kata Petronas dalam satu kenyataan hari ini.

Projek kilang penapis baru itu yang terletak di Pelabuhan Sudan, satu-satunya pelabuhan masuk di negara tersebut, merupakan kilang penapis komplek teknologi tinggi dengan jumlah kapasiti 100,000 tong sehari, kata Petronas.

Kilang penapis moden

Ia merupakan kilang penapis eksport yang direka untuk memproses minyak mentah asid tinggi yang akan menambah nilai kepada Dar Blend daripada Sudan Melut Basin Blocks 3 di mana Petronas memiliki 40 peratus kepentingan ekuiti.

Pengeluaran itu akan dapat menampung permintaan tinggi bagi produk petroleum di Sudan dan negara-negara jiran di bawah Pasaran Bersama Afrika Timur dan Selatan (COMESA) sebaik sahaja ia beroperasi sepenuhnya pada awal 2009, kata syarikat tersebut.

Menurut laporan Bernama, kilang penapis moden dan canggih itu akan menghasilkan produk petroleum berkualiti tinggi yang menepati spesifikasi Euro 4.

Petronas berkata penyertaannya dalam perniagaan penapisan di Sudan mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat itu kepada pembangunan industri petroleum di Sudan.

Petronas telahpun aktif dalam peruncitan hiliran dan penerbangan menerusi PMSL dan sektor huluan industri minyak Sudan.

Petronas juga mempunyai kepentingan dalam Blok 1, 2 dan 4; Blok 3 dan 7; Blok 5A, Blok 5B dan Blok 8.