Mahkamah Jerman larang guru Islam pakai tudung
Bremen, negeri Jerman utara semalam membuat keputusan tidak membenarkan seorang guru wanita Islam mengajar selepas beliau enggan mematuhi arahan tidak memakai tudung kepala.
Bremen, negeri Jerman utara semalam membuat keputusan tidak membenarkan seorang guru wanita Islam mengajar selepas beliau enggan mematuhi arahan tidak memakai tudung kepala.
Penghakiman itu dibuat oleh mahkamah pentadbiran tertinggi. Bakal guru itu, seorang lulusan universiti dengan bahasa Jerman dan agama sebagai pengajian utamanya, dinafikan jawatan guru oleh pihak berkuasa sekolah berikutan keengganannya itu.
Dalam keputusan mereka, para hakim menyatakan keputusan itu dibuat selepas menimbang secara teliti fakta bahawa tudung kepala menimbulkan "bahaya tersirat kepada mandat pendidikan yang diberikan kepada negeri itu dan juga kedamaian di sekolah".
Keputusan mahkamah itu mempertahankan pindaan kepada undang-undang yang diluluskan parlimen Bremen Jun lalu yang mengawal selia pemakaian simbol agama oleh guru.
Pindaan itu menyebut, penampilan seseorang guru harus tidak mengganggu atau menjejas sensitiviti agama dan falsafah kanak-kanak sekolah dan mereka yang diajar, serta tidak merosakkan sikap berkecuali sekolah-sekolah awam dalam hal agama dan falsafah.
Pemakaian simbol di sekolah
Menurut hakim itu, tudung kepala melambangkan ekpresi sengaja dan mantap tentang anutan sesuatu agama.
Mahkamah itu juga sebenarnya mengetepikan keputusan sebuah mahkamah rendah yang mengarahkan pihak berkuasa sekolah membenarkan wanita tersebut terus mengajar.
Menurut laporan Bernama, bagaimanapun, Parlimen Bremen ketika itu belum meluluskan peraturan berhubung pemakaian simbol agama di sekolah-sekolah.
Bremen bukanlah satu-satunya negeri yang menghadapi kontroversi ini. Sebuah lagi negeri di bahagian selatan, Baden-Wuerttemberg juga terlibat dalam kontroversi serupa membabitkan seorang guru wanita Islam Afghanistan.
Pihak berkuasa sekolah itu enggan membenarkan beliau mengajar selagi memakai tudung.
Beliau merujuk ke mahkamah yang membuat keputusan menyebelahi sekolah. Jerman mempunyai penduduk Islam kira-kira lima juta kebanyakannya berasal dari Turki, Maghribi dan Tunisia.
Cadangan ditolak
Sementara itu, di Melbourne, Australia, Perdana Menteri John Howard menolak cadangan seorang penyokong kerajaan di Parlimen Australia semalam agar pelajar perempuan Islam yang menuntut di sekolah kerajaan dilarang memakai tudung.
Anggota Parti Liberal Bronwyn membuat cadangan itu bagi menyokong tindakan rakannya Sophie Panopoulos yang menggesa kerajaan supaya mengharamkan pakaian tudung kerana menyifatkannya sebagai simbol penentangan.
"Untuk berlaku adil, jika kita mengharamkan pemakaian tudung, kita juga perlu mengharamkan pemakaian serban. Ini agak susah dan tidak praktikal," kata Howard.
Perdana Menteri Australia itu berkata walaupun beliau tidak menyukai bentuk pakaian yang lebih ekstrem, termasuk yang menutup seluruh muka, pemakaian tudung sudah menjadi amalan kebanyakan wanita Islam dan oleh itu beliau tidak menyokong cadangan agar ia diharamkan.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.