Ahli exco Selangor mahu penjelasan daripada pihak polis mengapa penganjuran pesta "Oktoberfest" dibenarkan di Melaka, Johor dan Sarawak tetapi tidak di Selangor.

Ini adalah antara lima soalan yang dikemukakan oleh Ean Yong Hian Wah susulan keputusan polis yang tidak memberikan ‘lampu hijau’ kepada "Festival F & B Bavaria" di se buah pusat membeli-belah di Petaling Jaya.

"Adakah ini double standards?" soal exco Selangor itu dalam satu catatan di Facebook.

Menurut surat oleh Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din, maklumat risikan mendapati acara itu bakal menjadi tarikan kepada serangan pihak militan dan seterusnya, mencetuskan ketenteraman awam.

Ean Yong juga menyoal mengapa polis mampu memastikan keselamatan semasa Sukan SEA 2017 tetapi bukan acara kecil seperti "Festival F & B Bavaria".

“Adakah ini bermaksud jamuan makan atau aktiviti yang beralkohol tidak lagi selamat di Malaysia?

“Adakah Malaysia sudah menjadi tempat yang tidak selamat dan penuh dengan ancaman serangan militan?

“Mengapa pihak polis tidak boleh menghantar pasukan untuk menjaga keselamatan selain daripada menghalangnya?” soalnya.

Beliau berkata jika pihak polis tidak mampu menjalankan tugas mereka dan mencegah jenayah berlaku, polis akan kehilangan keyakinan orang ramai.

“Rakyat Malaysia bukan sahaja memerlukan ulasan polis yang profesional, tetapi juga tindakan polis yang profesional.

“Jikalau polis hanya mampu memberi pandangan tetapi enggan mengambil tindakan fizikal untuk mencegah jenayah yang berpontensi mengancam keselamatan, rakyat anggap ini sebagai ketidakcekapan dan tidak berkeupayaan dan seterusnya hilang keyakinaan terhadap polis,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Fuzi Harun untuk menjawab soalan-soalan berkenaan.