Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dr M: Umno zaman merdeka tak dipimpin 'penyangak'
Diterbitkan:  Oct 5, 2017 9:08 PM
Dikemaskini: 2:01 PM

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Umno ketika ini langsung tidak boleh disamakan dengan parti itu di saat memperjuangkan kemerdekaan negara dahulu.

"Memang Umno berjuang untuk mencapai kemerdekaan tetapi di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman, bukan di bawah pimpinan penyangak.

"Pemimpin penyangak kalau macam ada dalam Umno tak mungkin dapat kemerdekaan, nasib baiklah kita pada masa itu dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman," katanya menerusi rakaman yang dikongsi laman Facebok parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) hari ini.

Beliau diminta mengulas penganjuran pertandingan menghias bilik darjah oleh sebuah sekolah rendah di Putrajaya 3 Oktober lalu, dengan tema "Umno dan Kemerdekaan".

Ketika pertandingan itu, bilik darjah dan dewan sekolah dihiasi dengan bendera Umno, manakala murid juga dilihat mengibarkan bendera Umno ketika persembahan.

Di sebalik kecaman kerana ia dilihat cuba membawa masuk politik ke sekolah, Pemuda Umno Putrajaya dan Pemuda BN Wilayah mempertahankan pertandingan itu dan menyatakan ia hanyalah penghayatan kepada fakta sejarah.

Namun bagi bekas perdana menteri itu, ia tidak lebih sekadar tindakan sebuah parti yang sudah terdesak.

"Kerajaan dan Umno sudah terdesak, tak tahu nak buat apa sampai budak-budak pun nak dikotorkan pemikiran mereka.

"Jadi nak pengaruhi anak-anak kita, mereka bukan bodoh. Kalau dipaksa mereka menyanyilah, tetapi mereka tak percaya pada Umno sekarang," katanya lagi.

Terdahulu, Dr Mahathir menyifatkan hanya kerajaan diktator yang sanggup mengarahkan pelajar menaikkan bendera dan menyanyikan lagu pemerintah.

Ia sudah menjadi amalan negara sebegitu untuk menanamkan perasaan kagum melampau kepada pemimpin walaupun pemimpin itu tidak layak mendapat penghormatan sedemikian, katanya.

Lihat Komen
ADS