Sujud untuk sebuah pendidikan
ULASAN I Di ketinggian 30,000 kaki dengan kelajuan 800 km/j goncangan separa kuat membungkam semua penumpang namun AK 5746 akhirnya selamat tiba di Lapangan Terbang Tawau.
Sekitar jam 2:05 petang setelah tiga jam bertolak dari Lapangan Terbang KLIA 2 lalu menemukan kami sekali lagi dengan seorang "malaikat kecil" bernama Uncle Thomas.
“Anak-anak murid saya ada yang jadi engineer di Sarawak. Ada yang jadi pegawai besar di Bank Islam di bandar Tawau. Ada yang jadi polis.
“Dulu saya seorang guru tuisyen sebab itulah mengajar ini sudah jadi sebahagian hidup saya. Biar setiap hari walau bagaimana cara sekalipun saya harus tuang sedikit ilmu kepada anak-anak.
"Jika tidak, saya seperti cacing kepanasan," kata Uncle Thomas.
Pengalaman sebagai guru tuisyen dan akibat masalah status kewarganegaraan menyukarkan anaknya untuk bersekolah di sekolah penuh kerajaan.
Lalu lelaki Timor-Timur ini melepaskan keselesaan hidup bagi mendirikan sekolah migran yang senasib dengan anaknya.
Sekitar 12 tahun dahulu bermula di sebuah gereja dengan sejumlah kecil anak-anak buruh termasuk yang beragama Islam inilah antara fasa awal perjalanan Sekolah Tunas Perwira sebelum tiga bulan selepas itu Uncle Thomas membuat keputusan berpindah ke balai raya demi "menjaga sensitiviti agama".
Lima tahun di balai raya itu sambutan meningkat saban tahun, yuran serendah RM15 tanpa paksaan sebulan dikenakan menjadikan sekolah di Andrassy ini yang termurah di Tawau.
Balai raya itu akhirnya tidak mampu menampung hinggalah dia terpaksa mencari tapak baru yang telah mereka duduki sekarang hampir tujuh tahun lalu.
Setelah 12 tahun berlalu, sekitar tahun lalu dengan sedikit sumbangan orang ramai dan kerjasama The Wakaf Buku, sebahagian sekolah tersebut sudah memiliki lantai simen setelah kurang lebih tujuh tahun dibina.
“Aku sanggup sujud untuk sebuah pendidikan”- Kata-kata hebat daripada orang hebat, Uncle Thomas ini sebenarnya ada kisah yang menjadi sebuah motivatisi.
Ia adalah tentang perjalanan bagaimana beliau mendapatkan tanah serta mendirikan sekolah Tunas Perwira yang serba dhaif itu hingga dia nekad bersujud di kaki seorang nenek tua bagi mendapatkan tanah.
Ternyata Tuhan tidak tidur, kata Uncle Thomas. Dia tidak sempat pun bersujud daripada nenek tua itu bagi mendapatkan keizinan agar sekolah tersebut didirikan.
Sekarang jumlah pelajar sekitar 300 orang, dari ruang belajar hingga alatan sekolah sudah tidak lagi tertampung dengan jumlah pelajarnya.
Ada berita gembira sedang tergantung menjadi tanda tanya kerana sebidang tanah untuk bangunan baru berserta dokumen sudah siap diuruskan dan sudah lima bulan berlalu.
Kini Uncle Thomas memerlukan sekitar RM10,000 dalam tempoh tujuh bulan bagi mendanai sekolah baru demi sedikit keselesaan anak-anak muridnya sebelum status tanah itu ditarik balik sekaligus memusnahkan impian mereka menikmati sedikit keselesaan.
Benarkah Tuhan tidak tidur seperti Dia menunaikan impian kecil mereka sewaktu tujuh tahun dahulu dan sanggupkah kita bersujud demi sebuah pendidikan anak-anak terpinggir?
ARAFAT HAMBALI Bekas penuntut seni halus yang gemar memerhati perkembangan seni budaya, juga penulis buku Kepak-kepak Malam Dari Sorga dan Sayap V

