Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN terbuka untuk berbincang dengan PSM - Azmin

Sama ada Parti Sosialis Malaysia (PSM) atau parti komponen Pakatan Harapan yang mengambil langkah pertama, Naib Presiden HARAPAN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sebarang perbincangan antara kedua-dua pihak, perlu dilihat sebagai satu perkembangan yang positif.

"Tidak perlu bertanya siapakah patut mulakan. Yang paling penting, jika kedua-dua pihak bersetuju (untuk berbincang), itu adalah perkembangan positif," kata menteri besar Selangor kepada pemberita di Bandar Kinrara, Puchong, hari ini.

Azmin, yang juga timbalan presiden PKR, berkata demikian apabila ditanya sama ada PSM sepatutnya menemui HARAPAN untuk perbincangan mengenai rundingan kerusi, atau sama ada gabungan itu bersedia mengambil langkah pertama sebagai sebahagian daripada matlamatnya untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional.

Anggota jawatankuasa pusat PSM S Arutchelvan semalam mendakwa bahawa HARAPAN, sejak pembentukannya, belum lagi mendekati partinya untuk sebarang rundingan menjelang pilihan raya umum ke-14.

"Sekiranya mereka (HARAPAN) merasakan kami adalah sekutu penting, maka mereka hendaklah berbincang dengan kami," kata Arutchelvan dalam sidang media di mana beliau diumumkan sebagai calon PSM untuk kerusi Parlimen Hulu Langat, bersama dengan pendatang baru Nik Aziz Afiq sebagai calon kerusi DUN Semenyih.

Pada masa yang sama, PSM dalam kenyataan akhbarnya menyatakan bahawa ia "bersedia untuk pakatan atau kerjasama pilihan raya di kawasan di mana parti itu bertanding bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru."

Azmin, yang mengakui hak PSM untuk meletakkan calonnya, juga mengulangi kesediaan HARAPAN untuk berbincang dengan mana-mana parti yang berkongsi aspirasi untuk perubahan.

[Baca berita penuh]


 

Lihat Komen
ADS