PKR: Tempoh sebulan kaji draf struktur negeri Sgor tidak mencukupi
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2020 (DRSNS) dibentangkan semula dan orang ramai diberi masa yang mencukupi untuk meneliti dan membuat bantahan.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu Draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2020 (DRSNS) dibentangkan semula dan orang ramai diberi masa yang mencukupi untuk meneliti dan membuat bantahan.
"Apakah Kerajaan Selangor tidak boleh memberi tempoh yang munasabah seperti enam bulan untuk mendapat pandangan daripada orang ramai," kata Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah.
Beliau menegaskan demikian selepas mengiringi Pengerusi PKR Selangor, Abdul Rahim Wahab menyerahkan borang bantahan awam terhadap DRSNS di Pejabat Perancang Bandar dan Desa di Shah Alam hari ini.
Borang bantahan tersebut diterima oleh pegawai perancang di pejabat berkenaan, Mohd Nasir Mohd Nayan.
Sivarasa berkata, tempoh bantahan selama sebulan yang berakhir hari ini adalah tidak munasabah kerana Rancangan Fizikal Negara (RFN) yang menjadi panduan kepada DRNS hanya boleh dibeli selepas 25 Julai lalu, manakala DRNS dibuka untuk bantahan mulai 1 Julai lalu.
Menurutnya, beberapa perkara dalam DRSNS itu juga membimbangkan kerana ia akan menggantikan Rancangan Struktur Daerah Petaling dan Sebahagian Daerah Kelang (RSDPSDK) yang berkuatkuasa sehingga tahun 2010.
Katanya, beberapa dasar yang baik dalam RSDPSDK, termasuk peruntukan 10 peratus tanah di daerah Petaling dijadikan kawasan hijau, tidak dimasukkan ke dalam DRSNS.
Kepadatan penduduk
"Jaminan bahawa kawasan Bukit Gasing akan dikekal sebagai kawasan hijau, juga tidak ada di dalam DRSNS," katanya lagi.
Sivarasa berkata, pembangunan semula yang dicadangkan dalam DRSNS untuk Daerah Petaling yang sudah sesak dengan pembangunan, akan menjejaskan kualiti hidup penduduk di kawasan terbabit.
Katanya, pembangunan di Petaling adalah hampir ke tahap maksimum dan penambahan kepadatan penduduk juga akan menyebabkan kualiti hidup masyarakat di situ turut terjejas.
Beliau berkata, cadangan untuk membangunkan semula kawasan bandar di tapak yang telah tamat tempoh pula, akan mengancam hak harta penduduk.
Katanya, banyak kawasan perumahan di Daerah Petaling merupakan tanah pajakan dan ini perlu ditukar kepada status pegangan bebas supaya hak pemilik dijamin kekal.
"Dalam DRSNS, dinyatakan kualiti semua air sungai di Selangor bersih, sedangkan hakikat sebenarnya adalah sebaliknya," katanya.
Sementara itu, Mohd Nasir berkata, bantahan yang diterima daripada orang ramai terhadap DRSNS amat menggalakkan, termasuk dari parti politik, badan bukan kerajaan dan orang perseorangan.
Katanya, semua bantahan itu akan diteliti oleh jawatankuasa yang dianggotai oleh jabatan-jabatan kerajaan negeri Selangor.
Beliau berkata, DRSNS akan diwartakan sebelum akhir tahun ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.