Anak bekas jagaan JKM hampir bunuh diri kerana tiada IC
Pernah merasakan hidupnya kosong dan hampir membunuh diri, itulah dilema dihadapi anak bekas jagaan Pusat Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tidak mempunyai kad pengenalan diri.
Nizha yang membesar di JKM berkata, beliau diserahkan kepada keluarga angkat iaitu pasangan doktor pakar mata dan pakar jantung setelah berusia 18 tahun.
Pada awalnya, gadis muda itu menyangka mendapat sinar baru dalam hidupnya apabila ada insan sudi menumpangkan tempat berteduh dan memberikannya kasih sayang.
Namun sangkaannya meleset apabila akhirnya dia didera dan diperlakukan seperti orang gaji oleh keluarga angkat berkenaan.
“Saya cakap pada mereka kalau dera saya lagi saya nak buat laporan polis, tapi mereka (pasangan doktor) kata tiada siapa yang akan percaya sebab saya tiada identiti diri.
“Mereka cakap kalau saya keluar dari rumah bukan hidup baik-baik sebab tiada identiti diri, nak kerja susah dan hanya boleh jadi pelacur sahaja.
"Disebabkan geram saya lawan cakap mereka ‘Baik jadi pelacur daripada terseksa macam ini’,” katanya sambil mengelap air mata.
Nizha yang berusia 27 tahun berkata satu-satunya bukti bahawa beliau dilahirkan di negara ini ialah sijil kelahirannya yang disimpan oleh ibu bapa kandungnya dahulu.
Beliau ditemubual pemberita susulan isu mengenai kehidupan bekas anak jagaan JKM yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan yang sah.
Minggu lalu Menteri Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Karim mengumumkan pihaknya akan mengeluarkan kad pengenalan khas bagi Anak-anak di rumah kebajikan atau bekas penghuni yang tidak mempunyai taraf kewarganegaraan yang sah.
Rohani berkata, langkah itu merupakan penambahbaikan kerajaan untuk membantu golongan terbabit jika berurusan dengan pihak luar.
Kata Rohani melalui pendekatan itu mereka boleh mencari pekerjaan atau mempunyai identiti pelindungan sekiranya berlakunya kecemasan selepas meninggalkan rumah perlindungan kendalian JKM.
'JKM tak pernah datang'
Sementara itu Nizha berkata, kali terakhir beliau menemui pihak JKM sembilan tahun lalu ketika diserahkan kepada keluarga angkat.
Akibat kesempitan hidup keluarga kandung, gadis ini diletakkan di rumah kebajikan dan dijaga JKM sejak kecil.
Sepanjang di bawah jagaan JKM, Nizha pernah menetap di Arau, Kuantan dan Cheras.
“Sepanjang saya tinggal dengan keluarga angkat, pihak JKM tidak datang walaupun sekali melawat saya. Kalau tidak saya boleh mengadu segala masalah saya,” katanya.
Nizha hidup bersama keluarga angatnya selama dua tahun sejak 2008.
Gadis itu diambil pasangan keluarga angkatnya sebaik sahaja keluar dari rumah kebajikan ketika usia 18 tahun.
Dihina dan dimaki keluarga angkat
Nizha turut menceritakan detik hitam dalam hidupnya apabila terpaksa bangun seawal jam 4 pagi untuk mencuci kereta keluarga angkatnya, membasuh najis dan memberi anjing makan.
“Selama saya tinggal dengan mereka, mereka selalu hina saya. Macam-macam dia maki saya. Bila saya nak makan mereka cakap jangan makan banyak. Kalau tengah buat kerja rumah, mereka marah-marah kata kerja tidak bersih.
“Mereka juga fitnah cakap saya pukul anak dia sedangkan ketiga-tiga anak dia saya jaga dari kecil, tahi anak dia pun saya basuh,” katanya.
Nizha juga dihalang keluar rumah dan kerana terlalu kerap suarakan hasrat mahu merasai dunia luar, keluarga angkatnya mengugut akan memotong rambutnya.
Selepas dua tahun, Nizha mengugut pasangan itu untuk membunuh diri menyebabkan mereka ketakutan dan meninggalkannya di Hentian Bas Pudu Raya.
Apa yang diberitahu keluarga angkatnya mengenai kepayahan hidup tanpa kad pengenalan kini mula dirasai sendiri oleh Nizha.
Kini beliau masih lagi berusaha mendapatkan kad pengenalan bagi memudahkan urusan serta kerunsingan makin timbul apabila mahu mendirikan rumah tangga tidak lama lagi.
“Saya harap sangat-sangat saya dapat hidup seperti orang lain, bebas dan tidak perlu fikirkan apa-apa,” katanya.

