Terjemahan Sekali lagi institusi pengajian tinggi awam dan swasta dilanda demam pilihanraya kampus dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendakwa pelajar yang dianggap pro-pembangkang merupakan mereka yang paling terasa bahangnya.

Bercakap dalam satu sidang media di Kuala Lumpur hari ini, Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)Ahmad Rifaudin Abdul Wahab mahu pilihanraya kampus kali ini dijalankan secara bebas dan adil.

Beliau mendakwa berlaku kejadian di mana bilik sesetengah pelajar 'diserbu' pada waktu awal pagi dan mendakwa ianya bertujuan untuk menakut-nakutkan pelajar.

Menurutnya, seorang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut dan juga menimbang kemungkinan mengambil tindakan undang-undang.

Selama ini, pilihanraya kampus membabit perebutan antara dua kumpulan pro-kerajaan dan pro-mahasiswa.

Ahmad Rifaudin juga mendakwa, kejadian serbuan seperti itu juga turut berlaku di Universiti Malaya.

Beliau mendakwa, seorang pegawai UKM dikatakan telah menyepak seorang mahasiswi sebagai amaran supaya tidak berkempen secara agresif.

Sistem undian elektronik

Dalam memorandum tiga muka itu, SMM menggesa supaya dihentikan segera pelakuan yang bertujuan menakut-nakutkan pelajar itu. Ia juga mahu dihapuskan sistem undian elektronik dan cetakan nomber siri di kertas undi, bagi memastikan kerahsian dan ketelusan pengundian.

Menurut Rifaudin, sistem undian elektronok kini telah digunakan di Universiti Multimedia, Kolej Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (Kustem) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah meragukan.

Katanya, Universiti Islam Antarabangsa mungkin mula menggunakan sistem ini dalam pilihanraya kampus kali ini.

"Di UPM, seorang calon yang menang dalam pilihanraya kampus yang lalu, hanya mendapat satu undi pada tahun berikutnya (di bawah sistem undian elektronik).

"Ini mustahil sama sekali, dia sepatutnya mendapat sekurang-kurangnya tiga undi iaitu undi pencadang, undi penyokong dan undi calon itu sendiri," tambahnya.

Rifaudin mendakwa, sistem undian elektronik itu boleh dimanipulasi oleh mereka yang menyokong pelajar yang ditaja oleh jabatan hal-ehwal pelajar. Beliau menjangka perkara yang sama akan berulang lagi kali ini.

Manakala tuntutan lain dalam memorandum tersebut, termasuklah membenarkan pelajar menubuhkan gabungan calon dan memperkenalkan manifesto secara terbuka, memanjangkan tempoh berkempen dari lima hari bekerja berturut-turut, membenarkan Suhakam, Suaram dan Hakam memantau pilihanraya kampus.

"Jika semua tuntutan ini tidak dipenuhi dan masalah yang sama berulang lagi, maka kami mahu timbalan naib canselor hal-ehwal pelajar (semua universiti) supaya meletakkan jawatan," katanya.

Selain itu, SMM juga menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi supaya menjamin pilihanraya kampus kali ini berjalan secara adil dan bebas.

SMM juga meminta Kementerian Pengajian Tinggi supaya tidak menyokong mana-mana kumpulan pelajar yang bertanding dalam pilihanraya kampus kali ini.

Memorandum tersebut telah disahkan oleh y 26 badan bukan kerajaan.

Pilihanraya kampus itu akan diadakan serentak di semua universiti pada hujung bulan September atau awal Otober ini.