Kerajaan akan mengkaji semula harga minyak dalam tempoh sebulan sekiranya harga bahan mentah itu melepasi paras tertinggi US$70 setong, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengambil satu tindakan bagi memastikan ianya tidak membebankan kerajaan dan menjejaskan projek-projek pembangunan yang dirancang untuk rakyat.

"Sekarang ini kerajaan terpaksa menanggung subsidi minyak sebanyak RM14 bilion setahun," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program kecemerlangan akademik, Mahasiswa Turun Desa, di Jeli.

Seramai 80 mahasiswa Universiti Malaya menyertai program selama empat hari itu dengan menjadi anak angkat kepada penduduk di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri Air Lanas dan Kemahang di Jeli.

Mustapa berkata, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan mengumumkan sekiranya berlaku sebarang perubahan mengenai harga bahan itu.

Menurut laporan Bernama, Mustafa berkata, buat masa sekarang, kerajaan tidak pasti sejauh mana ia dapat bertahan.

Harga minyak mentah dunia melonjak ke paras US$70 setong selepas Amerika Syarikat dilanda taufan Katrina yang menjejaskan pengeluaran minyak di Teluk Mexico berikutan kawasan itu menyumbangkan hampir satu perempat pengeluaran minyak dan gas seluruh Amerika Syarikat.