Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Himpunan antikleptokrasi bukan untuk lawan Fastaqim PAS'
Diterbitkan:  Oct 10, 2017 6:16 PM
Dikemaskini: 10:26 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak berniat menandingi himpunan Fastaqim 2.0 anjuran PAS dengan menganjurkan himpunan 'Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' hujung minggu ini, kata timbalan presiden pakatan pembangkang itu, Mohamad Sabu.

“Kita tidak cuba lawan mana-mana pihak lain kecuali BN,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusi mesyuarat terakhir menjelang himpunan pada 14 Oktober itu.

PAS sebelum ini mendakwa himpunan Fastaqim 2.0 yang bertujuan untuk menunjukkan sokongan yang diterima mereka menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 berjaya mencapai sasaran 200,000 peserta. Malaysiakini bagaimanapun cuma menganggarkan peserta sebanyak 50,000 orang.

Dalam sidang media sama hari ini, Mohamad memberitahu sasaran HARAPAN untuk himpunan antikleptokrasi itu adalah sekitar 100,000 peserta meski dua acara utama lain mengambil tempat pada hari itu.

Beliau bertegas bahawa Hari Sukan Negara dan perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Liverpool dan Manchester United tidak akan menjejaskan kehadiran peserta himpunan yang bakal diadakan di Padang Timur, Petaling Jaya itu.

Tambahnya, mereka yang ingin bercadang menyertai sambutan Hari Sukan Negara sebelah pagi, dan menonton perlawanan bola sepak sebelah petang masih boleh singgah himpunan ala karnival itu.

Bagaimanapun, Mohamad mengaku bahawa komponen parti HARAPAN mungkin tidak dapat memobilisasi penyokong mereka seperti himpunan mega sebelum ini yang diadakan di Dataran Merdeka kerana faktor logistik Padang Timur.

“Kekangan lain yang kita hadapi adalah penyokong tidak mampu menyewa bas untuk datang ke Padang Timur dan kita tidak mampu membayar untuk sewa bas,” katanya.

Ketika ditanya tentang rancangan Ketua Cabang Sungai Besar Jamal Md Yunos untuk menjual ikan murah di himpunan itu, Mat Sabu berkata beliau tiada halangan.

"Tak ada masalah, dia boleh jual apa-apa. Harap-harap tak ada provokasi (dengan) kita ada polis dan pasukan keselamatan,” katanya.

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara Faiz Fadzil Noor berkata, seramai 700 petugas keselamatan ditugaskan pada hari itu dan Majlis Perbandaran Petaling Jaya memberi kebenaran Padang Timur digunakan sebagai tempat acara.

Mohamad berkata polis telah dimaklumkan tentang himpunan itu selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2012 pada 25 September lalu.

"Semuanya berlangsung lancar, kami tidak berdepan apa-apa masalah,” katanya.

[Berita asal]

Lihat Komen
ADS