Bekas pemimpin Parti Liberal New South Wales (NSW), John Brogden yang menyindir isteri bekas Ketua Menteri NSW sebagai "pengantin yang ditempah melalui pos", keluar dari sebuah hospital di Sydney Rabu selepas cubaan membunuh diri.

Brogden dibawa ke Hospital Royal North Shore Sydney semalam selepas ditemui dalam keadaan hampir pengsan akibat pengambilan dadah dan alkohol di pejabat pendaftar pemilih kira-kira jam 11 malam, dengan kesan tikaman yang disengajakan.

Berita mengenai keadaan Brogden cepat tersebar di Parlimen NSW ketika rakan-rakannya terbabit dalam perbincangan hingga larut malam untuk memilih pengganti ahli politik berusia 36 tahun itu yang melepaskan jawatan Isnin lalu selepas mengakui meminta habuan seks daripada seorang wartawan serta menggelar Helena Carr, isteri bekas pemimpin Parti Buruh NSW Bob Carr, sebagai 'pengantin yang ditempah menerusi surat'.

Hari ini, ahli Parlimen parti Liberal dan kakitangannya menangis secara terbuka apabila mendengar berita itu dan masing-masing cuba menenangkan hati sesama sendiri.

Para pemimpin politik daripada kedua-dua pihak juga memberi sokongan kepada keluarga Brogden.

Sementara itu, Parti Liberal negeri menangguhkan pengundian untuk memilih pemimpin baru pagi ini. Jurucakap pengangkutan Peter Debnam dijangka dipilih esok.

Terima simpati

Perdana Menteri dan Pemimpin Parti Liberal Persekutuan John Howard berkata beliau sedih mengetahui Brogden cuba membunuh diri.

Menurut laporan Bernama , Howard berkata beliau dan ahli Parti Liberal bersimpati dengan Brogden dan isterinya, Lucy.

Sementara itu, Carr dan isteri, Helena, berdarah kacuan India dan Cina dari Taiping, mendoakan Brogden cepat sembuh dengan berkata mereka sedia memaafkannya.

Komen dan pendedahan mengenai perlakuan Brogden terhadap dua wartawan wanita itu menjurus kepada peletakan jawatannya. Banyak lagi dakwaan dijangka muncul.

Pengarah Parti Liberal NSW Graham Jaeschke berkata: "Kami semua terkejut."

"Kami semua memikirkan mengenai John dan keluarganya kerana mereka merupakan keluarga yang hebat dan kami akan memastikan beliau dan keluarganya mendapat sokongan yang diperlukannya daripada parti," katanya.