Barangkali, antara peristiwa paling menarik dan sukar dilupakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2005 ialah pertemuan antara Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Rafidah Aziz dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyaksikan mereka berpelukan sebagai sahabat karib.

Umum mengetahui, sebelum ini, Rafidah dan Dr Mahathir, yang juga penasihat Proton, saling berbalas kenyataan berhubung kontroversi yang menyelubungi isu permit import (AP).

Detik yang mengharukan itu berlaku di hadapan pentas VVIP dan disaksikan beberapa menteri Kabinet semasa Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, ingin beredar pulang setelah berakhirnya upacara sambutan Hari Kemerdekaan di Dataran Putrajaya hari ini.

Walaupun tiada siapa yang tahu apa yang diucapkan oleh Rafidah dan Dr Mahathir pada pertemuan itu, tetapi apa yang nyata ialah menteri berkenaan kelihatan menangis ketika beliau memeluk Dr Mahathir yang kelihatan tenang sepanjang episod berkenaan.

Rafidah kemudiannya memeluk Dr Siti Hasmah sebelum mengeluarkan sehelai kertas tisu untuk menyapu air matanya sambil mengiringi pasangan suami isteri itu ke kereta mereka.

Dirakam jurugambar

Menurut Bernama, walaupun usaha untuk mendapatkan komen daripada kedua-dua tokoh itu tidak berhasil, namun detik kedua-dua tokoh itu saling berpelukan sempat dirakam oleh beberapa jurugambar.

Pada Mei tahun ini, Dr Mahathir mempersoalkan urusan pengeluaran AP yang dianggapnya memberi kesan buruk terhadap kereta nasional, Proton, dan meminta agar senarai pemegang AP didedahkan kepada umum.

Rafidah memberi respons terhadap permintaan bekas Perdana Menteri itu dengan berkata tindakan menyiarkan nama pemegang AP tidak pernah menjadi amalan kerajaan. Bagaimanapun, beliau menyebut nama anak lelaki Dr Mahathir sebagai antara penerima permit itu.

Pelbagai pihak kemudian meminta Rafidah memohon maaf kepada Dr Mahathir kerana menganggap tindakannya itu menyinggung perasaan dan tidak menghormati bekas Perdana Menteri tersebut.

Pada Perhimpunan Agung Umno Julai lalu, Rafidah turut dikecam oleh anggota perwakilan berhubung cara beliau mengendalikan isu AP.