Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting hari ini mempertahankan perlantikan abang sulungnya, Datuk Ong Ka Chuan sebagai setiausaha agung MCA yang baru, dengan menjelaskan bahawa ia berdasarkan pengalaman luasnya dalam parti, dan bukannya kerana pertalian hubungan persaudaraan.

Menurutnya lagi, keputusan itu dibuat sebulat suara dalam mesyuarat jawatankuasa pusat parti itu semalam, berdasarkan "Ka Chuan mempunyai pengalaman dan berkebolehan untuk memegang jawatan tersebut" dan ini memenuhi syarat untuk menjalankan tugas berkenaan.

"Ka Chuan merupakan seorang ahli jawatankuasa pusat yang lama dan telah berkhidmat sejak tahun 1987 dan sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Pengelola MCA selama 15 tahun dan merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Negeri Perak," katanya.

Ka Ting memberitahu pemberita demikian selepas menghadiri acara perarakan Hari Kemerdekaan Ke-48 di Dataran Putrajaya hari ini.

Menurut laporan Bernama, Ka Ting, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata talian persaudaraan antaranya dengan abangnya Ka Chuan, tidak langsung menjadi faktor kepada pemilihan itu.

"Semalam, hampir kesemua ahli jawatankuasa pusat memujuk saya supaya jangan terlalu mengambil berat faktor bahawa beliau abang saya," katanya.

Ka Ting berkata, ia merupakan satu tindakan yang tidak adil jika beliau menimbangkan perhubungan persaudaraan sedangkan Ka Chuan mempunyai kelayakan untuk memegang jawatan tersebut.

"Saya sendiri tak cakap apa pun tentang kebaikan dan kesesuaian beliau. Saya hanya jalankan tugas yang diperuntukkan dalam Perlembagaan MCA," katanya.

Ka Chuan menggantikan Tan Sri Dr Ting Chew Peh yang menyandang jawatan itu sejak tahun 1990.

Pada pemilihan parti itu baru-baru ini, Ting tewas kepada Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy untuk jawatan timbalan presiden.