Anggota Rela meninggal ketika sertai perbarisan Hari Merdeka
Seorang anggota Rela berusia 51 tahun rebah lalu meninggal dunia ketika menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan ke-48 peringkat negeri di Kuala Terengganu hari ini, dipercayai akibat serangan penyakit jantung.
Seorang anggota Rela berusia 51 tahun rebah lalu meninggal dunia ketika menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan ke-48 peringkat negeri di Kuala Terengganu hari ini, dipercayai akibat serangan penyakit jantung.
Johari Ngah dari Kampung Gong Beris, Marang, dikatakan rebah secara tiba-tiba ketika perbarisan kontinjen Rela seramai 32 anggota yang disertainya sedang melalui Bulatan Sultan Omar di Kuala Terengganu.
Ketika itu, perbarisan itu baru sahaja berjalan satu kilometer meninggalkan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah menuju ke arah pentas utama yang terletak di Taman Rekreasi, Pantai Batu Buruk.
Johari kemudiannya dikejarkan ke Hospital Kuala Terengganu (HKT) yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian oleh anggota Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), namun disahkan telah meninggal dunia setibanya di hospital.
Menurut laporan Bernama, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Ayob Abdul Kadir mengesahkan kejadian itu ketika ditemui pemberita di hospital.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh; Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia Datuk Dr Abdul Latiff Awang serta Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Kesihatan, Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Wanita Negeri Datuk Rosol Wahid ialah antara pemimpin yang menziarahi jenazahnya di hospital.
Jenazah Johari kemudiannya dibawa pulang ke kampungnya untuk disembahyang dan dikebumikan selepas solat Zohor hari ini.
Lapan anak
Allahyarham menyertai pasukan Rela sejak 15 tahun yang lalu dan bekerja sebagai kontraktor kecil kilang batu bata di Pulau Kerengga dan menjadi pengawal keselamatan Sekolah Kebangsaan Pulau Kerengga pada sebelah malam.
Beliau meninggalkan seorang isteri serta lapan orang anak yang berusia antara empat bulan dan 22 tahun.
Manakala di Putrajaya, perbarisan gilang gemilang dengan penyertaan utama golongan remaja, disaksikan oleh ratusan ribu penonton yang mengibarkan Jalur Gemilang.
Selama kira-kira tiga jam, perkarangan di hadapan Palace of Justice di Boulevard di pusat pentadbiran persekutuan ini berkemundangan gabungan aneka bunyi bersama pancaran aneka warna ketika kira-kira 32,000 peserta berarak sambil menari di laluan sepanjang 4.2 km.
Menyertai kumpulan penonton dan pemimpin negara ialah berjuta-juta rakyat Malaysia di seluruh negara yang menyaksikan siaran langsung perayaan itu bertemakan "Keranamu Malaysia" di TV.
Perayaan bermula dengan ketibaan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid dalam kereta kuda.
Seri Paduka berdua disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketika "Negaraku" berkumandang, helikopter berlegar di angkasa membawa Jalur Gemilang dan bendera angkatan tentera, sambil melepaskan jaluran asap warna merah, biru dan kuning ketika pesawat itu hilang dari pandangan sebelum Yang di-Pertuan Agong memeriksa barisan kehormatan.
Koir terdiri daripada 2,000 bakal guru dari Maktab Latihan Perguruan Malaysia kemudian mengumandangkan "Negaraku" pada upacara menaikkan bendera diikuti dengan lagu-lagu patriotik "Keranamu Malaysia" dan "Jalur Gemilang", sambil tembakan meriam 14 das dilepaskan.
Mengetuai bacaan ikrar "Rukunegara" ialah sembilan pelajar sekolah menengah, termasuk Fakhrul Radzi Shamsudin, seorang pelajar istimewa dari Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Perdana, Kuala Lumpur. Ini disambut dengan gema laungan "Merdeka' sebanyak tujuh kali.
'Bunga bangsa'
Dengan mengenakan pakaian tradisional masing-masing kaum di Malaysia, pelajar sekolah rendah menawan hati penonton dengan penyampaian sajak, gurindam dan syair berjudul "Bunga Bangsa" yang menitik-beratkan antara lain pentingnya belajar dan menghormati guru.
Kemudian, 3,220 murid dan pelajar menampilkan persembahan padang bertemakan "Pendidikan Teras Pembangunan Insan" mengandungi pantomim, ucapan koral dan pelbagai gerak-geri kreatif.
Ini diselang-seli dengan pembentukan formasi Jalur Gemilang dan logo Koridor Raya Multimedia dan tema Hari Kemerdekaan, Keranamu Malaysia.
Persembahan itu diiringi dengan gema pukulan gendang oleh 1,000 penggendang serta koir.
Melihat kira-kira 600 anak-anak kecil lelaki dan perempuan dengan pakaian comel dalam persembahan pantomim, yang mengisahkan pengalaman persekolahan pra- dan pasca- Merdeka, membuat ibu bapa dan guru mereka tersenyum lebar.
Persembahan pasukan pancaragam dan perarakan Jalur Gemilang raksaksa dan bendera negeri oleh pelatih Khidmat Negara merupakan prelud kepada lintas hormat hampir 50 kontinjen dan perarakan kira-kira 15 kereta berhias, mewakili kerajaan, institusi pendidikan dan pertahanan serta sektor swasta.
Penonton bersorak ria bila sebuah kontinjen yang termasuk kanak-kanak pra-sekolah muncul dan mereka penuh ceria melambai-lambai kontinjen 115 Tokoh Guru dan "Guru Cemerlang", serta kontinjen pelajar-pelajar antarabangsa yang menuntut di Malaysia.
Penonton juga dihiburkan dengan pertunjukan oleh sekumpulan penerjun udara yang menaiki jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia.
Buat pertama kali, rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan kira-kira 400 anggota elit dari Para Briged 10 mempersembahkan tarian wira perang penuh bertenaga melambangkan komitmen mempertahankan negara dari penceroboh.
Turut ditampilkan ialah pelbagai jenis kenderaan yang menjadi tulang belakang pertahanan dan keselamatan negara.
Lintas hormat
Kemuncak lintas hormat ialah "Komponen Rakyat Bersepadu" terdiri daripada kira-kira 10,000 orang dari pelbagai kategori termasuk kanak-kanak pra-sekolah, pelajar, kakitangan kerajaan, badan-badan berkaitan kerajaan, perbadanan swasta dan organisasi kumpulan etnik.
Mesej yang terserlah cukup pasti - sekalipun datang dari latar belakang sosial, kaum dan agama yang berlainan, rakyat Malaysia adalah bangsa yang bersatu dan tinggal dalam suasana penuh harmoni.
Turut hadir pada sambutan perayaan ini ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, menteri-menteri kabinet dan diplomat asing.
Kira-kira 900 anggota polis ditugaskan untuk mengawal lalulintas dan menjamin keselamatan di sekitar Putrajaya yang menjadi tuan rumah sambutan Hari Kemerdekaan peringkat nasional buat kali kedua. Yang pertama pada 2003.
Di Kota Bharu, seramai 4,760 peserta dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri termasuk badan bukan kerajaan menyertai perarakan sempena Hari Kemerdekaan di Stadium Sultan Muhammad Keempat.
Acara dimulakan dengan upacara menaikkan bendera dan nyanyian Negaraku diikuti dengan laungan Merdeka sebanyak tujuh kali.
Menteri Besar Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima tabik hormat daripada kira-kira 136 kontinjen dari atas pentas utama di Jalan Mahmood.
Perarakan itu turut disertai kira-kira 300 peserta pembawa bendera yang terdiri daripada pasukan beruniform sekolah dan pasukan pancaragam.
Lebih 120 kenderaan dari pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk 30 motosikal mini turut sama berarak, di samping pelbagai jenis kenderaan jabatan dan agensi kerajaan.
Perarakan bermula dari Stadium Sultan Muhammad Keempat pada kira-kira jam 8 pagi sebelum melalui beberapa batang jalan utama di sekitar bandar ini.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.