Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SPRM wujud senarai kementerian 'paling bermasalah'

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal melancarkan senarai kedudukan risiko perlakuan rasuah dan salah guna kuasa bagi peringkat kementerian.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, ia melibatkan senarai 10 kementerian "paling bermasalah" dan lima kementerian "paling baik".

Sistem itu akan dilancarkan akhir tahun ini, katanya lagi.

"Kita akan mulakan di peringkat kementerian. Kemudian kita akan perluaskan lagi ke jabatan dan agensi (termasuk) peringkat negeri,"katanya pada sidang media selepas majlis Ikrar Bebas Rasuah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi di Putrajaya, hari ini.

Katanya, senarai kedudukan itu berdasakan sistem yang diamalkan di Korea Selatan.

Zulkifli berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kementerian itu akan dinilai sebagai salah satu kementerian paling bersih dari aspek rasuah dan salah guna kuasa.

Turut hadir adalah menterinya Datuk Seri Mah Siew Keong yang mengetuai bacaan ikrar itu, yang melibatkan 600 kakitangan kementerian dan agensi di bawahnya.

Mengulas lanjut, Dzulkifli berkata mekanisme baru itu agar kementerian lebih bertanggungjawab untuk memastikannya tidak berada dalam senarai kementerian paling bermasalah.

"Ia juga untuk memberi ruang kepada mereka memperbaiki (kelemahan). Akan ada banyak kriteria (yang diambil kira dalam penyenaraian).

"Kita akan jelaskan bagaimana kita mengklasifikasikan senarai itu nanti. Kita tidak buat senarai ini secara semberono, ada kriteria dan telah dipersetujui pakar," katanya lagi.
 

Lihat Komen
ADS