Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Annuar: Zaid 'sahkan' impian PM Lim
Diterbitkan:  Oct 12, 2017 1:32 PM
Dikemaskini: 5:42 AM

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata beliau gembira dengan kenyataan dibuat bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim yang mendakwa Lim Kit Siang boleh menjadi perdana menteri yang lebih baik berbanding pemimpin Umno.

Kata Annuar pandangan diberikan Zaid itu seolah-olah mengesahkan bahawa memang Lim mengingini jawatan perdana menteri Malaysia.

Sebelum ini kata Annuar beliau pernah membuat kenyataan bahawa Lim mahu menjadi perdana menteri namun ada pihak yang "menggelabah" untuk menafikan perkara berkenaan.

"Tapi sekarang sekurang-kurangnya kenyataan Zaid itu (menjadi) sebagai satu ‘endorsment’ bahawa Kit Siang ada kriteria untuk menjadi perdana menteri," katanya seperti dilapor umno-online hari ini.

Umno sering menggunakan dakwaan bahawa DAP bakal menguasai negara ini jika BN ditumbangkan pembangkang.

Selain mengaitkan kemenangan DAP dengan kempen Kristian, beberapa pemimpin Umno turut membayangkan Lim akan menjadi perdana menteri.

Antaranya ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Selamat berjaya buat Zaid

Semalam Zaid - yang kini menganggotai DAP - berkata idea menjadikan Lim sebagai perdana menteri mungkin sesuatu yang "baik" selepas isu berkenaan terus dimainkan Umno di sebalik penafian anggota parlimen Gelang Patah itu.

"Kita tak henti-henti dengar tentang perkara ini. Jika mereka (pemimpin Umno) begitu 'menginginkannya' terjadi, ia mungkin idea yang baik,” katanya kepada Malaysiakini.

Zaid juga memberitahu Malaysiakini menteri Umno menyasarkan Lim kerana mereka kehabisan idea selepas kempen menakut-nakutkan rakyat tidak berkesan.

“Mereka (pemimpin Umno) tak tahu apa yang harus dilakukan. Siapa harus diserang.... (Maka) serang Mahathir dan Kit Siang.

“Mereka ingin menutup isu mereka sendiri. Jadi ini adalah cara untuk mengalihkan perhatian,” tambahnya.

Menurut Annuar beliau mengucapkan tahniah kepada Zaid kerana akhirnya berjaya "di-DAP-kan" oleh parti berkenaan.

"Jadi saya ucapkan selamat berjayalah kepadanya,” kata Annuar.

Bagaimanapun, Annuar berpendapat kenyataan dibuat Zaid tidak melambangkan realiti dalam hatinya.

Kata Annuar Zaid terpaksa bersuara mengikut kemahuan DAP kerana kini sedang menjadi anggota parti tersebut.

“Apabila berada di kandang buaya, Zaid terpaksa menjadi buaya supaya dia tidak dimakan, apabila berada di kandang harimau, Zaid terpaksa memakai belang harimau supaya tidak dibaham harimau.

"Tapi Zaid kena ingat, buaya pakai kulit apa pun tetap buaya,” katanya.

Lihat Komen
ADS