Paling Popular
Terkini
story images
story images

WAWANCARA Tan Sri Dr Abu Hassan Omar mendakwa bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim sedia membantu BN merampas kembali negeri itu daripada Pakatan Harapan (HARAPAN) pada pilihan raya umum akan datang.

Yang di-Pertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor itu berkata, Khalid termasuk dalam senarai empat bekas menteri besar Selangor yang akan membantu kemenangan BN di negeri itu.

"Memang Khalid bersedia untuk berbuat demikian (bantu kempen BN).

"Sekarang ini sebab dah ada empat bekas MB, saya pun dah bincang dengan Tan Sri Noh (Omar) dan dia memerlukan sedikit sebanyak bantuan daripada kami, insya-Allah sedikit sebanyak kita akan bantu," kata Abu Hassan dalam temubual dengan Malaysiakini di pejabat Mubarak Selangor di Shah Alam.

Terdahulu Abu Hassan diminta mengulas usaha BN menggandingkan tiga bekas menteri besar Selangor bagi membantu BN merampas semula negeri itu.

Bagaimanapun, Abu Hassan mendedahkan bukan tiga tetapi empat bekas menteri besar Selangor termasuk Khalid akan berbuat demikian.

Selain Abu Hassan sendiri, dua lagi bekas menteri besar itu adalah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dan Dr Mohd Khir Toyo.

Mengulas lanjut perkara itu, Abu Hassan berkata beliau mengetahui hasrat Khalid menerusi sumber yang terdekat dengannya.

"Ini menerusi beberapa sumber, adalah dia punya link. Bukan secara terus kepada saya kerana dia (sumber) adalah pelajar saya sebelum ini, jadi dia tak mahulah direct (kepada saya) tetapi saya tahu dia mempunyai hubungan dengan piihak atasan," katanya.

Abu Hassan berkata beliau jelas mengenai niat anggota Parlimen Bandar Tun Razak itu untuk membantu BN tetapi meminta media bertanya sendiri kepada Khalid.

"Itu (kesediaan) kena minta dia komenlah, tapi di peringkat saya dia sedia untuk membantu.

Bagaimanapun, Abu Hassan berkata langkah selanjutnya terserah kepada badan perhubungan BN negeri.

"Caranya terpulang kepada apa badan perhubungan nak kita lakukan di Selangor,"katanya.

'PAS sebagai rakan senyap'

Mengulas apakah peranan Khalid dalam menyatukan kerjasama dengan PAS, Abu Hassan berkata setiap parti mempunyai potensi tersendiri dan berharap PAS akan menjadi 'silent partner' kepada BN demi kepentingan politik Melayu.

"Itu susah nak kata sebab setiap parti ada agenda masing-masing dan kita pun tahu sama ada boleh atau tidak untuk kerjasama dan kita semua ada potensi cumanya bagaimana kita nak menyesuaikan potensi dan ia terpulang kepada badan perhubungan BN.

"Tapi kita berharaplah kepada Melayu demi (survival) sebab bukan Melayu cara dah lain sikit. Kita haraplah PAS ini akan bekerjasama tapi bukan secara terbuka tapi lebih kepada 'silent partner'," kata Abu Hassan.

Khalid umum Ahad

Sementara itu, ketika dihubungi Malaysiakini, pembantu Khalid, Faekah Hussien enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan Abu Hassan.

Sebaliknya Faekah berkata Khalid akan membuat pengumuman mengenai kedudukannya dalam PRU14 Ahad ini.

"Tan Sri (Khalid) akan umumkan kedudukan beliau dalam PRU14 pada 15 Oktober," katanya.

Khalid menyertai Umno sekitar 90-an sebelum beralih kepada PKR sekitar tahun 2000 sewaktu zaman reformasi.

Beliau dipilih sebagai menteri besar Selangoor selepas kejayaan Pakatan Rakyat menawan negeri itu pada pilihan raya umum 2008.

Namun jawatan Khalid sebagai menteri besar tidak kekal lama apabila beliau dipecat daripada PKR pada Ogos 2014 berikutan krisis dalaman parti itu.

Selain mewakili kawasan parlimen Bandar Tun Razak, Khalid juga merupakan ADUN Pelabuhan Kelang.

Di penghujung pentadbirannya sebagai menteri besar Khalid dilihat lebih akrab dengan PAS berbanding PKR.

Keadaan itu mencetuskan khabar angin beliau akhirnya akan menyertai parti berkenaan.

Bagaimanapun, Khalid kekal sebagai ADUN bebas.

Baru-baru ini Khalid menjelaskan beliau tidak menyertai PAS sewaktu hadir di Himpunan Fastaqim 2.0 selepas diajukan pertanyaan mengenainya oleh media.

Lihat Komen
ADS