Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Jamal beri amaran mandikan Datuk Bandar dengan air ikan

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini mencabar Datuk Bandar Petaling Jaya Datuk Mohd Azizi Mohd Zain supaya hadir dan menghalangnya daripada menjual ikan di Padang Timur esok.

Malah, Jamal yang juga pemimpin Gerakan Baju Merah turut memberitahu akan “memandikan” Mohd Azizi dengan air ikan sekiranya beliau hadir ke padang berkenaan.

“Datuk Bandar jangan setakat pandai nak memberi amaran kepada saya. Kalau Datuk Bandar betul-betul ketua kepada penguatkuasa, minta dia turun esok tempat saya jual ikan. Saya nak mandikan air ikan atas kepala Datuk Bandar.

"Minta dia sendiri turun halang saya esok. Jangan nak halang orang daripada nak buat baik. Saya nak bagi orang ramai dapatkan ikan dengan harga yang lebih murah. Pesta arak, pesta apa dia bagi.

"Jadi esok, Datuk Bandar datang, saya nak mandikan dia dengan air ikan,” kata Jamal ketika dihubungi Malaysiakini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohd Azizi yang meminta Jamal memohon permit atau berdepan dengan tindakan dihalau sekiranya berhasrat menjual ikan di himpunan antikleptokrat Pakatan Harapan di Padang Timur, Petaling Jaya.

Selain itu, Jamal turut mempersoalkan arahan Mohd Azizi yang memintanya memohon permit sekiranya ingin menjual ikan esok.

"Bagi saya setakat nak jual ikan, nak minta permit apa benda. Setakat nak jual ikan dua, tiga jam nak bagi orang ramai, berkhidmat pada orang ramai, tak perlulah (minta permit).

"Bersepah kedai judi, urut boleh bagi (beroperasi) pula, yang boleh merosakkan akhlak, boleh bagi.

"Jadi untuk bagi perkhidmatan kepada masyarakat dengan ikan mahal sekarang ini, apa dia nak masalah sangat?" kata Jamal.

'Polis buat kerja polis, saya buat kerja saya'

Mengulas nasihat polis yang meminta agar tidak menimbulkan kekacauan dengan gimik jual ikan esok, Jamal berkata beliau hanya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin NGO.

"Polis ada tugas dia, biar polis buat kerja polis, saya buat kerja saya. Saya tak boleh buat kerja polis, polis tak boleh buat kerja saya.

"Saya tak nak melawan atau bangkang cakap timbalan ketua polis negara. Bagi saya itu tanggungjawab beliau nak menjaga keamanan dan ketenteraman awam. Tapi saya ada pendapat saya sendiri.

"Itu tugas dia. Saya juga pemimpin NGO yang telah diberi amanah oleh anggota gabungan saya. Ini tugas saya," ujar Jamal lagi.

Jamal sebelum ini menyatakan hasrat untuk menjual ikan di himpunan anjuran HARAPAN esok dan akan memulakan 'perniagaannya' pada waktu tengah hari.

Ahli politik kontroversi itu sebelum ini menjual pelbagai jenis ikan antaranya kembung, cencaru, selayang dan mabong pada harga RM5 sekilogram.

Ia sebagai protes kepada orang tengah yang didakwanya bertanggungjawab terhadap kenaikan harga ikan.

Jamal mendakwa orang tengah itu menyokong pembangkang dan menaikkan harga ikan atas tujuan politik.

Lihat Komen
ADS