Peguam pengikut Ayah Pin pohon media jangan siar namanya
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini menolak permohonan seorang peguam yang mewakili empat pengikut Ayah Pin yang didakwa menghina pihak berkuasa agama, supaya namanya tidak disiarkan dalam media sepanjang perbicaraan kes itu.
Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu hari ini menolak permohonan seorang peguam yang mewakili empat pengikut Ayah Pin yang didakwa menghina pihak berkuasa agama, supaya namanya tidak disiarkan dalam media sepanjang perbicaraan kes itu.
Hakim Muhammad Abdullah ketika menolak permohonan itu berkata tiada peruntukan undang-undang yang menghalang media daripada melaporkan nama peguam yang mengendalikan sesuatu perbicaraan itu.
Terdahulu, peguam Wan Mohamed Haidi Wan Jusoh daripada Tetuan Ubaidillah
Aziz di sini, memohon mahkamah agar namanya tidak disiarkan dalam akhbar sepanjang perbicaraan kes itu.
Wan Mohamed Haidi yang mewakili empat daripada 45 pengikut Ayah Pin Kamariah Ali (foto), Amirah Mohamad, Deraman Mamat dan Nor Aini Mohamed Yakub ketika ditemui di luar mahkamah berkata sekiranya namanya disiarkan dalam media, ia akan mengganggunya mengendalikan kes itu.
Katanya, beliau mungkin akan mewakili kesemua tertuduh dalam perbicaraan akan datang walaupun pada masa ini, beliau hanya mewakili empat pengikut Ayah Pin itu.
Mengikut fakta kes, kesemua 45 pengikut Ayah Pin berusia antara 18 dan 77 tahun didapati berada dalam kawasan kediaman Ariffin Mohamad atau Ayah Pin di Kampung Batu 13, Mukim Tenang, Hulu Besut pada pukul 10.30 pagi 20 Julai lalu.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 menghina pihak berkuasa agama kerana mengikut fatwa, ajaran Ayah Pin adalah palsu, sesat, menyeleweng dan boleh membawa ancaman kepada ketenteraman awam serta merosakkan akidah.
Arah pakai tudung
Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.
Hakim Muhammad menetapkan perbicaraan kes itu selama tiga hari mulai 18 Disember. Pendakwaan dilakukan Ketua Pendakwa Syarie Mustafar Hamzah.
Menurut laporan Bernama, Hakim Muhammad juga memerintahkan Kamariah, 54, yang sebelum ini menghadapi satu lagi tuduhan mengikut Seksyen 7 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana mengaku bukan Islam, memakai tudung sepanjang perbicaraan kes itu.
Beliau berkata, Kamariah perlu mematuhi arahan itu kerana beliau telah didakwa di mahkamah berkenaan dan sekiranya beliau ingkar, beliau boleh dikenakan tindakan.
Hakim Muhammad juga memberi peringatan kepada kesemua tertuduh untuk hadir pada perbicaraan itu mengikut masa yang ditetapkan kerana jika ada daripada mereka yang lewat atau tidak hadir akan menyebabkan kes itu tergendala.
Merujuk kepada kelewatan seorang tertuduh, Ismail Mohamad di perbicaraan hari ini, beliau berkata mahkamah mempunyai kuasa mengeluarkan waran tangkap serta merampas bon jaminan sebanyak RM2,000 terhadao kesemua mereka jika tidak hadir di perbicaraan itu.

