Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'HARAPAN tak mampu tegak syiar Islam kerana dikuasai DAP'
Diterbitkan:  Oct 14, 2017 3:17 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa berkata, Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak mampu mempertahankan atau menegakkan syiar Islam di negara ini kerana gabungan pembangkang itu telah dikuasai DAP.

Menurut Annuar lagi, HARAPAN dikuasai DAP iaitu parti yang paling dominan dan berkuasa dalam gabungan tersebut.

Annuar berkata, walaupun DAP cuba menafikan perkara berkenaan namun tindak tanduk sekutunya dalam HARAPAN yang tidak bersuara dalam banyak perkara berkaitan kepentingan Islam jelas membuktikan DAP berkuasa.

Ia dibuktikan apabila parti dalam pakatan berkenaan tidak memberi sokongan terhadap Rang Undang-undang 355 (RUU 355) selain mengambil sikap mengunci mulut dalam isu pesta arak walaupun mendapat bantahan umat Islam di negara ini, lapor Utusan Malaysia.

“Selain itu, agenda Islam satu pun tidak dapat dilaksanakan di dalam Pakatan Harapan sama ada di Selangor atau Pulau Pinang kerana DAP menguasainya dan parti itu langsung tidak berminat untuk memartabatkan syiar Islam.

“Malah dalam Perlembagaan DAP juga jelas memperjuangkan sekular,” kata Annuar yang dilapor sebagai berkata.

Berbeza dengan Umno, anggota parlimen Ketereh itu berkata, parti keramat Melayu itu sentiasa meletakkan Islam sebagai keutamaan.

Sehubungan itu, beliau menyerahkan kepada rakyat sama ada ingin memilih HARAPAN yang dikuasai DAP atau BN yang ditunjangi Umno untuk memerintah negara.

Lihat Komen
ADS