Paling Popular
Terkini

ULASAN| Apabila Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dengan bahasa mudah bertitah 'Ini bukan negara Taliban', mungkin ada yang menganggapnya sebagai bahasa biasa yang menggambarkan baginda tidak berkenan dengan isu dobi tersebut.

Sebenarnya istilah talibanisasi telah dipakai dalam kamus antarabangsa bagi merujuk mereka yang bersikap seperti kumpulan Taliban.

Ia satu sikap yang begitu ekslusif, sempit, tidak menghormati hak pihak lain dan tidak mengambil konteks yang betul dalam pegangan agama.

Pada saya, idea mudah yang hendak disampaikan Sultan Johor ialah kita hendaklah mengambil cara yang rasional dan moderat (wasatiyyah) dalam pendekatan Islam yang kita pegang.

Sikap yang terlalu ekslusif dan tidak menghormati hak-hak kaum dan agama lain hanya akan membawa umat Islam jatuh dan musnah seperti Taliban.

Ia bukan sahaja merujuk kepada Taliban secara literal, tetapi termasuk juga golongan yang ingin meniru apa sahaja pendekatan Islam yang jumud dan sempit.

Aliran yang sempit itulah yang dinamakan masyarakat antarabangsa sebagai 'Wahabi'.

Pandangan pengasingan atas nama agama Islam seperti isu dobi, tempat awam, restoran dan selainnya ini jika tidak dibendung, ia akan merebak ke isu-isu lain.

Akhirnya yang susah bukan orang lain, tetapi kehidupan orang muslim itu sendiri.

Sultan Johor menggunakan istilah Taliban bagi memberi ingatan kepada kita bahawa negara ini memerlukan pendekatan Islam yang moderat dan progresif.

Saya mencadangkan satu pendekatan pengajian Islam yang lebih progresif dan moderat dibuat dalam membentuk kefahaman Islam yang dapat menangani konteks yang dihadapi oleh masyarakat negara ini secara khusus dan dunia secara amnya.

Ini akan dapat menghalang pemikiran ekstremis berkembang dalam masyarakat kita, dan mampu membangkitkan semula Islam di persada antarabangsa.


DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN merupakan Mufti Perlis.

Rencana ini merupakan pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


 

Lihat Komen
ADS