DAP cadang langkah atasi kepadatan penduduk di Sgor
Peluang pekerjaan dan pembinaan institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diagihkan ke negeri lain bagi mengurangkan penghijrahan penduduk ke Selangor, kata Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Lau Wen Sang.
Peluang pekerjaan dan pembinaan institusi pengajian tinggi (IPT) perlu diagihkan ke negeri lain bagi mengurangkan penghijrahan penduduk ke Selangor, kata Setiausaha Organisasi DAP Selangor, Lau Wen Sang.
Katanya, Kerajaan Selangor perlu berusaha ke arah itu bersama Majlis Perancang Fizikal Negara bagi mengurangkan kepadatan penduduk di negeri itu bagi mengatasi pelbagai masalah seperti masalah perumahan, pengangkutan dan kesesakan lalulintas.
Pembangunan ekonomi negeri juga, katanya, kelihatan terlalu tertumpu kepada sektor pembinaan serta pembuatan dan oleh itu, perlu dipelbagaikan.
"Keluasan tanah perindustrian di setiap daerah pada 2000, 2005 dan 2010 menunjukan pola perubahan tidak stabil dan drastik. Misalnya, di Daerah Hulu Selangor, keluasannya pada 2000 ialah 6,308 hektar tetapi merosot mendadak kepada 414 pada 2005. Ia dijangka meningkat kepada 673 hektar pada 2010," katanya.
Beliau menyatakan demikian dalam cadangan DAP mengenai Draf Rancangan Negeri Selangor (DRNS) 2020 yang dihantar kepada Pengarah Jabatan Perancang Negeri Selangor.
Lau berkata, memandangkan Lembah Kelang merupakan gugusan kawasan perbandaran, maka kerajaan negeri harus mengelak mewujudkan kawasan perumahan berkepadatan tinggi di tempat yang mengalami kesesakan lalulintas.
Ekonomi mandiri
DAP, katanya, juga mencadangkan supaya kerajaan negeri memperluaskan sektor pertanian untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi supaya tidak hanya bergantung kepada sektor pembuatan dan perindustrian sebagai sumber pendapatan utama.
Menurutnya, ini amat perlu kerana pelaburan langsung luar negara (FDI) merosot, maka ekonomi juga akan terjejas dan oleh itu, ekonomi perlu bersifat mandiri.
Beliau berkata, lebuhraya bertol yang terlalu banyak di Selangor dan kadarnya pula sentiasa naik, akan membebankan penduduk negeri tersebut.
Oleh itu, katanya kerajaan negeri perlu mempertimbang mengadakan rangkaian pengangkutan Rel/LRT dan komuter di kawasan perbandaran baru, seperti Puchong, Subang Jaya, Shah Alam dan Kelang untuk mengurangkan kesesakan lalulintas.
"Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) perlu diminta memainkan peranan penting dalam merancang, menstruktur dan mengintegrasi segala bentuk pengangkutan awam di Selangor supaya pembinaan sistem pengangkutan Rel/LRT dapat disepadukan dengan perkhidmatan bas," katanya.
Premis keagamaan
Menurut Lau lagi, terdapat jurang perbezaan yang besar bagi tanah pembinaan bangunan keagamaan, iaitu 90 peratus untuk masjid, dan ini menyebabkan premis untuk bukan Islam adalah di rumah teres dan rumah kedai.
Katanya, kesemua premis keagamaan perlu diberi tempat tetap dan keperluan tanah untuk bukan Islam perlu ditingkatkan kerana 40 peratus penduduk Selangor adalah bukan Islam.
Beliau berkata, terdapat keperluan yang semakin meningkat terhadap Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, khususnya di Ampang, Selayang, Petaling Jaya, Kelang, Puchong dan Subang Jaya.
"Dengan itu, kerajaan negeri harus membina sekolah tersebut mengikut keperluan setempat," katanya.
Lau berkata, kadar pengangguran di Selangor meningkat setiap tahun iaitu 138,270 pada 2,000 dan jumlah itu akan meningkat kepada 270,100 pada 2020.

