Polis Kelantan meningkatkan kawalan keselamatan dan rondaan di semua pintu masuk sempadan bagi mengelakkan kemasukan lebih ramai warga Thailand ke negara ini.

Ketua Polis Kelantan, SAC I Zulkifli Abdullah berkata sejak mengesan kemasukan rakyat negara jiran itu dua hari lalu, pihak polis memperketatkan kawalan di semua pintu masuk, termasuk di pangkalan-pangkalan haram.

"Kawalan keselamatan di sempadan sudah sedia ada tetapi kini kita pertingkatkan dan perketatkan lagi dengan anggota yang bertugas secara bergilir-gilir.

"Pasukan Polis Marin dan Pasukan Gerak Am (PGA) juga menjalankan rondaan lebih kerap bagi memastikan keselamatan perairan negara," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Seramai 131 warga Thailand yang dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan tanpa dokumen perjalanan sah, masuk ke negara ini berikutan kebimbangan mengenai keselamatan di wilayah asal mereka.

Ramai penduduk di wilayah selatan itu mula khuatir dengan operasi pihak tentera dan juga kejadian letupan bom sejak kebelakangan ini.

Siri letupan

Dalam kejadian terbaru, tiga orang termasuk dua anggota polis terbunuh dan 21 orang lagi cedera dalam satu siri letupan dan kejadian tembak-menembak di wilayah selatan Thailand yang sedang bergolak.

Menurut polis Thai, tiga letupan berlaku hampir serentak di bandar Sungai Golok, di sempadan Malaysia, yang mencederakan 15 orang termasuk empat orang cedera parah.

Bahan letupan tersebut mula meletup pada jam 8.35 malam pertama di sebuah karaoke dan disusuli dengan letupan di dua buah hoteal Hotel Plaza dan Hotel Genting.

Di Wilayah Pattani pula, sebelas butir bom dipasang di dua jambatan dalam cubaan untuk meletupkannya di daerah Nongchik, tetapi beberapa sahaja yang meletup dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Manakala seorang pegawai polis yang sedang mengiringi guru-guru ke sekolah terbunuh dan rakannya dan dua orang guru cedera dalam satu letupan di daerah Sungai Padi dalam wilayah Narathiwat awal hari ini.

Sebutir lagi bom yang dipasang di pasu pokok di bandar Narathiwat, meletup awal hari ini dan mencederakan tiga orang penduduk. Seorang pegawai polis peronda lebuhraya pula ditembak mati di wilayah Pattani, pada malam Rabu.

Dan di Wilayah Yala, seorang guru agama, Abduloh Malee, 38, ditembak di kepalanya oleh dua penembak awal hari ini, ketika dia dalam perjalanan ke Sekolah Agama Pattana Wittaya. Dia mati ditempat kejadian .

Rondaan 24 jam

Sementara itu, pihak polis mendapat maklumat mengenai kehadiran 69 daripada mereka yang terdiri daripada 44 lelaki yang berumur 20 hingga 65 tahun, sembilan wanita dewasa yang berumur 23 hingga 40 tahun dan kanak-kanak di masjid Pengkalan Kubor, Tumpat pada 30 Ogos 8.30 malam.

Seramai 62 orang lagi, yang terdiri daripada 20 lelaki berumur 16 hingga 62 tahun, 15 wanita dewasa berumur 16 hingga 40 tahun dan kanak-kanak berkumpul di masjid Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang.

Sementara itu, Pegawai Pemerintah Polis Marin Pengkalan Kubor DSP Ahmad Abu Bakar berkata pihaknya menjalankan kawalan 24 jam di sepanjang Sungai Golok dari Kuala Tak Bai ke Pangkalan Kubang Pak Itam.

"Sebanyak empat bot bersama 16 pegawai dan anggota polis marin bergilir-gilir menjalankan rondaan di perairan sempadan.

"Tumpuan utama adalah bot dari negara jiran yang menyeberang masuk ke perairan Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama.